mutakhir

Tak mengaku gangster

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad

KESEMUA suspek yang ditahan reman berikutan kes pemerasan di Brickfields, Kuala Lumpur menafikan mereka terlibat dalam mana-mana kumpulan gangster.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, sehingga kini pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

Katanya, hasil siasatan awal, keempat-empat suspek menafikan mereka terbabit dengan kumpulan gangster walaupun modus operandi mirip kumpulan gangster tertentu.

“Setakat ini cara mereka melakukan pemerasan seakan sama dengan cara kumpulan gangster bertindak. Kita

masih mengenal pasti elemen berkenaan,” katanya kepada media selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Hal Ehwal Murid dan Korikulum Sekolah Menengah Kebangsan (SMK) Cheras, di Cheras, hari ini.

Difahamkan keempat-empat supek berusia lingkungan 30-an terbabit ketika cuba memeras pengurus kepada projek pembinaan di kawasan Brickfields.

Suspek cuba meminta bayaran sebagai upah untuk melindungi kawasan tapak pembinaan terbabit daripada sebarang gangguan kumpulan gangster.

Dalam pada itu mengulas mengenai program hari ini, Mazlan berkata, ibu bapa perlu ambil tahu pembabitan kegiatan anak-anak mereka.

“Program hari ini untuk memberi lebih motivasi kepada guru dan pelajar supaya lebih bersemangat dan tidak terjerumus kepada kegiatan tidak bermoral.

“Ibu bapa jangan hanya serahkan ‘tanggungjawab’ kepada pihak sekolah, kita sendiri perlu pantau aktiviti anak-anak.

“Saya sendiri pernah kejar dan rampas telefon bimbit anak untuk diperiksa,” katanya.

Disiarkan pada: October 11, 2019 @ 2:22pm
d