mutakhir

Sindiket sudah tak untung lagi

Oleh Siraj Mohd Zaini

PERMIT kerja warga asing (i-Kad) palsu dijual pada harga RM400 setiap satu dan mengaut untung RM5,000 setiap bulan.

Itu kegiatan sindiket pemalsuan permit yang berselindung di sebalik syarikat perniagaan membekalkan tenaga kerja asing sejak setahun lalu.

Bagaimanapun, kegiatan sindiket itu akhirnya tumpas selepas polis menahan lapan lelaki iaitu dua lelaki tempatan, lima lelaki Pakistan dan seorang lelaki Bangladesh dalam serbuan di sekitar Klang dan Shah Alam, Selasa lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Selangor, Asisten Komisioner Fazlisyam Abd Majid berkata, dalam serbuan itu seorang lelaki tempatan dan rakan lelakinya warga Pakistan dipercayai dalang sindiket ditahan polis.

Menurutnya, hasil soal siasat terhadap tangkapan awal, polis kemudiannya menjalankan operasi besar-besaran dan menahan sembilan lagi suspek iaitu lapan lelaki Bangladesh dan seorang wanita tempatan dipercayai terbabit dengan sindiket di beberapa lokasi berasingan semalam.

“Seramai 16 suspek lelaki dan seorang suspek wanita warga tempatan berusia 19 hingga 40 tahun ditahan polis.

“Polis turut merampas komputer riba, mesin cetak, telefon bimbit, beberapa pasport antarabangsa Pakistan, Bangladesh dan India serta beberapa keping i-Kad palsu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.

Fazlisyam berkata, modus operandi sindiket itu dengan mensasarkan pekerja asing dari Pakistan, India dan Bangladesh untuk membuat i-Kad palsu dan kebanyakan majikan tidak tahu pekerja mereka menggunakan permit kerja palsu.

Katanya, sindiket tidak mengeluarkan i-Kad palsu dalam kuantiti banyak kerana tidak mahu perbuatan mereka dihidu pihak berkuasa.

“Siasatan polis mendapati sekurang-kurangnya 30 i-Kad sudah dicetak dan dijual kepada pekerja asing oleh sindiket berkenaan.

“Mereka kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Disiarkan pada: October 11, 2019 @ 3:26pm
d