mutakhir

'Saya tak pernah dengar suami isteri itu bergaduh'

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

“KALI terakhir ibu saya menemui lelaki itu adalah minggu lalu dan dia tidak menunjukkan sebarang perubahan sebaliknya menegur seperti biasa,” kata jiran kepada keluarga yang dipercayai ada kaitan dengan kes pembunuhan kejam di Kampung Ladang, Krubong, petang semalam.

Jiran berkenaan yang enggan dikenali berkata, sejak mendiami rumah dua tingkat itu hampir dua tahun lalu, dia tidak pernah mendengar lelaki warga Singapura dan isterinya itu bergaduh.

“Walaupun mereka jarang balik, tapi sesekali bila pulang, mereka tetap menyapa saya dan tidak menunjukkan seperti mempunyai masalah dalam hubungan.

“Memang pasangan itu dan tiga anaknya jarang balik ke sini kerana suaminya bekerja di Singapura dan hanya pulang tak sampai 10 kali sebulan,” katanya.

Petang semalam, polis menemui anggota badan manusia dipercayai lebih daripada seorang yang berselerakan sekurang-kurangnya lapan bahagian di kawasan semak Kampung Ladang, Krubong.

Susulan itu, media sosial hari ini tular mengenai laporan pembunuhan kejam oleh seorang lelaki terhadap dua mangsa iaitu kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dan ibunya berusia 27 tahun yang dikaitkan dengan kejadian penemuan mayat itu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad dilaporkan berkata, polis masih menyiasat jantina mangsa termasuk identiti yang hanya diketahui selepas proses bedah siasat.

“Kita akan putuskan sama ada sekurang-kurangnya lapan bahagian tubuh manusia ditemukan ini lebih daripada satu (mangsa) atau tidak selepas selesai proses bedah siasat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun kerana membunuh.

  • Lagi berita berkaitan Mayat Dikerat Lapan
  • Disiarkan pada: October 11, 2019 @ 4:05pm
    d