mutakhir

Tunai janji berlandaskan semangat inklusiviti

Oleh BERNAMA

KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) akan terus berusaha untuk melaksanakan semua inisiatif yang dijanjikan berlandaskan semangat inklusiviti dan kemakmuran bersama, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, meskipun berhadapan pelbagai cabaran dan rintangan, kerajaan akan memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara.

Sehubungan itu katanya, kerajaan perlu menguruskan dasar fiskal secara efektif bagi mencapai keseimbangan antara menyokong pertumbuhan ekonomi dengan memastikan hutang dan liabiliti negara kekal mampan.

“Memandangkan sumber adalah terhad, maka pengagihan sumber perlu dioptimumkan mengikut keutamaan sosioekonomi di samping mengekalkan ruang fiskal yang mencukupi,” katanya dalam kata pengantar laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2020 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan.

Beliau berkata, 2020 akan menjadi tahun terakhir Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) dan ia juga menjadi tahun asas kepada kerajaan dalam menetapkan hala tuju RMK12 (2021-2025) yang berteraskan kepada wawasan atau agenda “Kemakmuran Bersama.”

“Dalam kesungguhan untuk mencapai pertumbuhan dan kedinamikan ekonomi, ketidakseimbangan peluang dalam ekonomi perlu ditangani bagi mewujudkan asas yang saksama dalam pembangunan negara,” katanya.

Perdana Menteri berkata, sektor swasta memainkan peranan penting dalam mencapai matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama.

Katanya, pelbagai inisiatif yang diterajui pemain industri dalam perkongsian pembangunan dan penyelidikan, pemindahan teknologi dan kemahiran serta pelaburan infrastruktur berpotensi untuk merangsang pembangunan, meningkatkan produktiviti, mewujudkan pekerjaan berkualiti, memperkukuhkan kemahiran dan menggalakkan kemajuan teknologi.

Dalam pada itu beliau berkata, kerajaan akan terus komited dalam melaksanakan pembaharuan institusi terutamanya dalam bidang berkaitan tadbir urus dan kewangan awam yang bertujuan memulihkan semula keyakinan rakyat terhadap institusi awam.

Disiarkan pada: October 11, 2019 @ 4:47pm
d