mutakhir

JKM ambil maklumat dua anak Mejar Zahir

Oleh Mohd Rafi Mamat

JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang akan berusaha membantu dua anak Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya iaitu Mohamad Remy Iskandar, 8, dan Mohamad Ebel Zulkarnain, 9, yang kini menetap bersama ibu mereka di Peramu Jaya, Pekan.

Pengarah JKM negeri, Zulkhairi Zainol Abidin berkata, pegawainya sudah bertemu dengan keluarga berkenaan kelmarin bagi mendapatkan maklumat serta dokumen diperlukan.

Menurutnya, semua syarat dipenuhi, JKM tidak keberatan untuk meluluskan bantuan bulanan diperlukan kepada kanak-kanak terbabit.

“Bagi kes dua anak Allahyarham Mejar Mohd Zahir ini, kami akan menentukan sama ada mereka layak untuk menerima bantuan atau sebaliknya dalam masa terdekat,” katanya.

Akhbar Harian Metro hari ini menyiarkan rintihan Jamilah Ismail, 37, bekas isteri Allahyarham Mejar Mohd Zahir yang mendakwa dua anaknya seolah-olah terpinggir daripada menerima sumbangan dan bantuan daripada pelbagai pihak.

Zulkhairi berkata, beliau difahamkan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) sudah menyerahkan bantuan kewangan kepada keluarga terbabit bagi meringankan beban ditanggung.

Sementara itu, Jamilah yang kini bekerja sebagai pembantu kedai makan di Peramu Jaya, Pekan berkata, dia hanya mampu mengucapkan terima kasih kepada pihak sudi menghulurkan bantuan kepada dua anaknya.

Menurutnya, antara pihak tampil membantu mereka adalah Yayasan Kasih, Komuniti Wanita Wanita-Wanita Hebat (WWH), Raw Factory, Lunatic Madboys, MUIP dan beberapa individu termasuk sahabat arwah.

Katanya, bantuan diterima digunakan untuk persekolahan dua anaknya termasuk pembiayaan lain diperlukan.

“Saya hanya mampu mengucapkan terima kasih kepada pihak bermurah hati menghulurkan sumbangan kepada dua anak saya.

“Saya bukan berniat untuk menagih simpati atau merayu pada mana-mana pihak untuk kepentingan peribadi, tetapi demi kebajikan mereka berdua,” katanya.

Berita berkaitan

'AR Badul harap sumbangan dikongsi semua cucu'

'Anak-anak saya juga ada hak'

Disiarkan pada: October 11, 2019 @ 4:49pm
d