mutakhir

Ketam nipah kena 'tahan'

Oleh Ibrahim Isa

TINDAKAN lelaki membawa masuk ketam nipah ke negara ini dipercayai untuk dijual di restoran makanan laut gagal apabila ditahan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Johor Bahru semalam.

Pengarahnya Nur Afifah A Rahman berkata, hasil pemeriksaan ke atas bonet sebuah kereta di laluan import KSAB, pihaknya menemui dua kotak berisi ketam nipah seberat 34.95 kilogram (kg).

“Semua ketam nipah bernilai RM1,048.50 itu dibawa masuk tanpa dokumen sah atau permit import (IP) yang dikeluarkan MAQIS.

“Lelaki warga tempatan berusia 30-an itu dibawa pulang ke pejabat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

“Sabit kesalahan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 11(3), akta sama iaitu denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

“Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, seseorang itu boleh didenda tidak melebihi RM150,000 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, MAQIS sentiasa melakukan pemeriksaan di pintu masuk negara bagi menjaga biosekuriti dan keselamatan makanan untuk memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas daripada ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar hingga boleh menjejaskan sektor pertanian.

Katanya, semua bahan yang diimport perlu mematuhi aspek kesihatan manusia, haiwan, tumbuhan, ikan dan keselamatan makanan bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Disiarkan pada: October 11, 2019 @ 5:31pm
d