mutakhir

Ekonomi global dijangka kekal sederhana

Oleh BERNAMA

EKONOMI global dijangka kekal sederhana pada masa depan, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh dalam kumpulan negara yang berkembang pesat dan sedang membangun (EMDE).

Bagaimanapun, pertumbuhan ekonomi maju dijangka terus berkembang perlahan, terutamanya disebabkan oleh dasar sekatan perdagangan yang berterusan, menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2020 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan.

“Risiko lembap kekal sebagai ancaman kepada pertumbuhan ekonomi dunia.

“Ini termasuk ketegangan perdagangan antara AS dan China yang kembali meruncing serta perluasan kenaikan tarif kepada negara lain yang akan terus menggugat permintaan global.

“Selain itu, pendedahan kepada pasaran kewangan mudah terjejas disebabkan kadar faedah rendah yang berpanjangan boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

“Ketegangan geopolitik yang semakin memuncak, kesan perubahan iklim dan gangguan teknologi juga akan memberi kesan negatif kepada ekonomi global,” katanya.

Menurut laporan itu, pertumbuhan ekonomi dalam kalangan negara maju diunjur lebih perlahan daripada 1.9 peratus pada 2019 kepada 1.7 peratus pada 2020, dengan ekonomi AS dijangka mencatat pertumbuhan kukuh pada 2019.

Bagi kawasan euro katanya, pertumbuhan ekonomi dijangka sederhana pada 2019 berikutan pengeluaran perindustrian dan keyakinan perniagaan yang lemah dalam persekitaran permintaan luaran yang lebih rendah.

“Ketidaktentuan akibat Brexit memberi kesan secara berterusan kepada keyakinan perniagaan dan permintaan domestik di UK. “Bagaimanapun, pertumbuhan ekonomi pada 2020 dijangka stabil selepas Brexit pada 31 Oktober 2019,” katanya.

Di Jepun katanya, pertumbuhan ekonomi secara marginal diunjurkan bagi 2019, disokong oleh penggunaan swasta dan pelaburan manakala pada 2020, ekonominya dijangka sederhana akibat kenaikan cukai penggunaan dan eksport yang lembap.

Ekonomi EMDE diunjur berkembang perlahan pada 4.1 peratus pada tahun ini, didorong oleh permintaan luaran dan pelaburan yang berkurangan berikutan kesan kenaikan tarif, menurut laporan itu.

Bagaimanapun katanya, pertumbuhan ekonomi dijangka meningkat kepada 4.7 peratus pada 2020 berikutan pertumbuhan negara utama EMDE yang diunjur kembali pulih daripada kesan tekanan pasaran kewangan.

“Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China dijangka berkembang pada kadar lebih perlahan pada 2019 dan semakin sederhana pada 2020, terutamanya disebabkan oleh kelemahan struktur dan ketegangan perdagangan yang semakin meruncing.

“Ekonomi ASEAN diunjur berkembang pada 2019 dan 2020, disumbangkan oleh permintaan domestik yang kukuh.

“ASEAN juga dijangka mendapat manfaat daripada China melalui pasaran domestiknya yang besar dan pendapatan per kapita yang semakin meningkat melalui eksport dan pelaburan,” katanya.

Mengenai inflasi global katanya, ia dijangka kekal pada 3.6 peratus pada 2019 dan 2020.

Menurutnya, bagi tahun ini, inflasi dalam kalangan negara maju diunjur mencatatkan 1.6 peratus manakala dalam kalangan EMDE, ia dijangka mencatatkan 4.8 peratus, dan bagi 2020, inflasi negara maju diunjur pada 2.0 peratus manakala EMDE dijangka mencatatkan inflasi pada 4.7 peratus.

Sementara itu katanya, pertumbuhan perdagangan dunia diunjur berkembang perlahan kepada 2.5 peratus pada 2019 dalam persekitaran ketegangan perdagangan yang meningkat antara AS dan China, bagaimanapun naik kepada 3.7 peratus pada 2020 dipacu oleh pertumbuhan KDNK yang kukuh dalam EMDE.

“Aliran pelaburan langsung asing (FDI) dijangka berkembang 15 peratus kepada US$1.5 trilion pada 2019, terutamanya disebabkan peningkatan dalam aktiviti penggabungan dan pengambilalihan merentas sempadan dan pelaburan baharu,” katanya.

Disiarkan pada: October 11, 2019 @ 5:40pm
d