mutakhir

Belanjawan 2020 : Program Subsidi Petrol beri manfaat 8 juta pemandu

Oleh Yusmizal Dolah Aling

KERAJAAN memperuntukkan RM2.2 bilion bagi skim Program Subsidi Petrol (PSP) yang akan memberi manfaat kepada 8 juta pemandu.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) akan menerima kadar subsidi RM30 sebulan bagi kereta dan RM12 sebulan bagi motosikal membabitkan 2.86 juta penerima.

Katanya, program subsidi petrol bersasar itu akan dilaksanakan pada Januari 2020 dan harga petrol RON95 akan diapungkan dan harga diselaraskan secara beransur-ansur dengan bantuan tunai yang akan dikreditkan terus ke akaun penerima setiap empat bulan sekali.

Menurutnya, ia membabitkan kereta dengan kapasiti enjin 1,600cc dan ke bawah, kereta dengan kapasiti enjin melebihi 1600cc yang berusia lebih 10 tahun, motosikal dengan kapasiti enjin sehingga 150cc dan ke bawah atau motosikal dengan kapasiti enjin melebihi 150cc yang berusia lebih 7 tahun.

“Bagi pemandu lain yang layak dan bukan penerima BSH, mereka akan menerima Kad95 yang membolehkan mereka menikmati subsidi petrol 30 sen per liter terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta atau 40 liter sebulan bagi motosikal.

“Kad95 akan dilaksanakan secara berperingkat pada suku pertama 2020. Kenderaan mewah tidak layak menikmati subsidi bersasar ini,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2020 bertemakan Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama di Dewan Rakyat hari ini.

Guan Eng berkata, apabila skim subsidi bahan api itu dilaksanakan, harga runcit RON95 dan diesel akan diapungkan secara beransur-ansur dan akan mengurangkan ketirisan serta penyeludupan bahan api bersubsidi rentas sempadan yang menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada kerajaan.

“Subsidi layak diberikan jika harga pasaran RON95 yang ditentukan oleh Mekanisme Penetapan Harga Automatik (APM) melebihi RM2.08 seliter dan tiada subsidi akan diberikan jika harga berada di bawah RM2.08 seliter,” katanya.

Disiarkan pada: October 11, 2019 @ 6:39pm
d