mutakhir

Belanjawan 2020 : 1.1 juta bujang usia lebih 40 tahun layak terima BSH

Oleh BERNAMA

SERAMAI 1.1 juta individu bujang berusia melebihi 40 tahun yang berpendapatan kurang RM2,000 sebulan, layak menerima Skim Bantuan Sara Hidup (BSH) mulai tahun hadapan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat hari ini berkata, orang kelainan upaya (OKU) berusia 18 tahun dan ke atas, dengan pendapatan kurang RM2,000 sebulan, juga layak menerima bayaran BSH.

“Individu bujang berusia 40 tahun ke atas dan OKU layak menerima RM300 dan secara automatik menjadi penerima Skim Takaful MySalam secara percuma,” katanya.

Lim berkata, kerajaan memperuntukkan RM5 bilion untuk BSH pada tahun depan.

Pada tahun ini katanya, skim itu memberikan manfaat kepada 3.9 juta isi rumah.

Lim berkata, secara keseluruhannya, kerajaan memperuntukkan RM24.2 bilion di bawah Belanjawan 2020 untuk subsidi dan bantuan sosial, berbanding RM22.3 bilion pada tahun ini.

Katanya, ia termasuk bantuan kebajikan seperti BSH dan subsidi yang berkaitan dengan pertanian, bahan api dan kadar faedah.

Disiarkan pada: October 11, 2019 @ 6:51pm
d