mutakhir

Belanjawan 2020 : RM4.9 bilion tingkatkan sektor pertanian

Oleh BERNAMA

DALAM usaha memperkasakan sektor pertanian negara, RM4.9 billion peruntukan akan disalurkan kepada Kementerian Pertanian dan Indutsri Asas Tani pada 2020.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, menerusi Belanjawan 2020, peruntukan itu memberi fokus khusus kepada meningkatkan pendapatan bagi pengusaha pertanian.

“Kerajaan akan meningkatkan jumlah Elaun Sara Hidup Nelayan daripada RM200 kepada RM250 sebulan, menjadikan peruntukan keseluruhan RM152 juta pada 2020,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat hari ini.

Belanjawan 2020 adalah belanjawan kali kedua oleh kerajaan Pakatan Harapan, sejak mengambil alih memerintah negara pada Mei 2018.

Menerusi Belanjawan 2020 bertemakan ‘Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama’ itu, Lim berkata, kerajaan turut memperuntukkan RM150 juta sebagai galakan program integrasi tanaman seperti cili, nanas, kelapa, tembikai dan buluh kepada petani, nelayan dan pekebun kecil.

Menurutnya, kerajaan juga berhasrat menjadikan padi pulut sebagai produk perdana Pulau Langkawi bagi meningkatkan pendapatan petani.

“Bagi menyokong inisiatif ini, kerajaan akan memperuntukkan RM30 juta untuk penghasilan beras pulut di Pulau Langkawi yang dijangka memberi manfaat kepada 1,200 petani.

“Bagi meningkatkan hasil padi, kerajaan akan meningkatkan peruntukan input padi RM855 juta bagi 2020 berbanding RM796 juta pada 2019 di bawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) dan Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP),” katanya.

Katanya, kerajaan juga akan meneruskan subsidi padi bukit atau padi huma.

Lim berkata, kerajaan juga akan memperuntukkan RM43 juta ke arah pembangunan Industri Pertanian 4.0 bagi membangunkan baka yang berkualiti dan berproduktiviti tinggi.

Disiarkan pada: October 11, 2019 @ 7:07pm
d