mutakhir

Lori terbalik, laluan ke utara sesak

Oleh Muhammad Apendy Issahak

LORI membawa papan lapis terbalik selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 348 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Ladang Bikam di Sungkai hari ini.

Kejadian pada 3.40 petang itu menyebabkan lori terbabit melintangi keseluruhan laluan dan muatan dibawa turut memenuhi jalan.

Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kemalangan itu turut membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) tetapi tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

“Siasatan awal mendapati lori yang dalam perjalanan ke utara itu dipercayai hilang kawalan sebaik tiba di lokasi kejadian sebelum melanggar penghadang jalan tengah dan terbalik melintangi jalan.

“Pada masa sama sebuah MPV dari arah sama tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian tayar belakang lori berkenaan.

“Papan lapis dibawa lori itu kemudiannya bertaburan dan menutupi keseluruhan lorong menghala ke utara,” katanya ketika dihubungi di Ipoh hari ini.

Menurutnya, susulan itu kesemua lorong arah utara ditutup dan kenderaan dilencongkan ke jalan persekutuan di menerusi Plaza Tol Sungkai dan keluar di Plaza Tol Bidor.

Difahamkan, kemalangan itu menyebabkan berlaku kesesakan sejauh tujuh ke arah utara manakala trafik arah selatan pula perlahan sejauh empat kilometer di kawasan kemalangan itu.

Disiarkan pada: October 11, 2019 @ 8:12pm
d