mutakhir

Belanjawan 2020 : 'Setiap sen akan dipantau' - Maszlee

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

KEMENTERIAN Pendidikan memberi jaminan setiap peruntukan yang diumumkan dalam Belanjawan 2020 akan dipantau dan disalurkan dengan cekap bagi mengelak ketirisan serta kecuaian seperti diamalkan kerajaan terdahulu.

Menterinya Dr Maszlee Malik berkata, kementeriannya menerima peruntukan terbesar dalam belanjawan kali ini justeru, setiap sen akan dibelanjakan dengan bertanggungjawab.

Beliau berkata, biarpun peruntukan besar diterima namun ia hadir dengan tanggungjawab tinggi.

“Sudah tentu dalam bidang pendidikan, kita mahu yang terbaik dan memerlukan dana besar.

“Keutamaan kepada kementerian ialah memastikan proses penyaluran (peruntukan) akan dipantau kerana tidak mahu berlaku ketirisan,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Menerusi Belanjawan 2020, Kementerian Pendidikan menerima peruntukan iaitu RM64.1 bilion berbanding RM60.2 bilion tahun lalu.

Biarpun mengharapkan peruntukan lebih besar demi kesejahteraan pendidikan, Maszlee berkata, masih ada beberapa dasar kerajaan yang mampu mensejahterakan bidang itu.

“Ada beberapa dasar yang boleh membantu kita walaupun di luar belanjawan ini iaitu pelepasan cukai kepada pemberi sumbangan kepada sekolah dan ‘endownment’ kepada universiti.

“Jadi kita mengharapkan masyarakat dapat bersama kita untuk membangunkan pendidikan itu sendiri,” katanya.

Disiarkan pada: October 11, 2019 @ 8:32pm
d