mutakhir

Belanjawan 2020 : 'Semua rakyat gembira' - Dr Mahathir

Oleh Hayati Ibrahim dan Mohd Husni Mohd Noor

“SAYA rasa rakyat gembira, hampir setiap orang mendapat sesuatu,” kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, Belanjawan 2020 yang diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mencerminkan kekukuhan pentadbiran negara.

Katanya, walaupun kerajaan masih berdepan masalah untuk membayar hutang, tetapi prestasi ekonomi dapat dipertingkatkan.

“Ramai berpendapat kerajaan Pakatan Harapan tidak berpengalaman dan tidak mungkin mentadbir kerajaan dengan baik.

“Tetapi seperti yang dibentangkan, peruntukan tambahan sudah diberikan kepada semua pihak, ini menunjukkan kedudukan kewangan negara masih kukuh dan tiada hutang tidak berbayar (NPL),” katanya pada sidang media selepas menghadiri pembentangan Belanjawan 2020 di Parlimen hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Lim.

Dr Mahathir berkata, peruntukan untuk Sabah dan Sarawak juga lebih besar berbanding Semenanjung.

Mengenai pengambilalihan konsesi tol, Dr Mahathir berkata, perkara itu akan diperincikan kemudian tetapi kerajaan sudah mengenalpasti kawasannya yang membabitkan bandar dan luar bandar.

Mengenai pemberian diskaun tol 18 peratus secara purata di semua lebuh raya milik PLUS, Perdana Menteri berkata, ia masih belum diputuskan sama ada akan dilaksanakan tahun depan tetapi yang pasti ada penurunan kadar tol sehingga 18 peratus.

Disiarkan pada: October 11, 2019 @ 8:39pm
d