mutakhir

Belanjawan 2020 : LTAT sambut baik belanjawan pertahanan

Oleh BERNAMA

LEMBAGA Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menyambut baik peningkatan 12 peratus peruntukan belanjawan bagi Kementerian Pertahanan daripada RM13.9 bilion kepada RM15.6 bilion bagi tahun fiskal 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif LTAT, Nik Amlizan Mohamed berkata, ia akan menyediakan peluang kepada syarikatnya yang juga peserta utama dalam sektor maritim dengan projek semasa daripada kementerian itu.

Selain itu katanya, langkah kerajaan meluaskan skim Bantuan Sara Hidup adalah berita baik terutama bagi veteran angkatan tentera kerana ia akan membantu mereka menangani peningkatan kos hidup.

“Kami terutamanya gembira dengan skim pembiayaan Sewa Untuk Milik (RTO) yang diumumkan kerana ia akan memberi impak positif kepada keupayaan kami untuk menjual baki unit kondominium yang tidak terjual.

“Selain itu, LTAT akan menawarkan 2,500 unit rumah mampu milik di Taman LTAT Bukit Jalil kepada anggota angkatan tentera dalam tahun fiskal akan datang, yang juga akan mendapat manfaat daripada skim RTO.

“Dengan langkah berpaksikan rakyat dalam realiti iklim ekonomi semasa kita, LTAT yakin Belanjawan 2020 akan merangsang tahun pertumbuhan bersama,” katanya.

Disiarkan pada: October 11, 2019 @ 10:14pm
d