mutakhir

Bukan sebab kopi lah...

Oleh Siti Nor Hidayatidayu

POLIS menafikan penularan satu jenama kopi yang didakwa seorang lelaki yang menyebabkan hasil ujian saringan air kencing terhadapnya positif dadah jenis Methamphetamine.

Dakwaan itu dibuat anggota polis berusia 29 tahun yang didapati positif dadah jenis Methamphetamine selepas ujian dilakukan terhadapnya pada 10 malam Jumaat minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, Asisten Komisioner Mit Emong berkata, polis sedang melakukan siasatan dakwaan itu.

Katanya, polis mengambil sampel kopi untuk diuji di makmal bagi mengesahkan dakwaan yang dibuat.

“Lelaki berkenaan ditahan untuk siasatan dan kita sudah membebaskannya dengan jaminan polis kerana masih dalam siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)a Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Terdahulu, satu laporan polis tular apabila seorang lelaki yang mendakwa dirinya teraniaya selepas ditahan polis dan disahkan positif dadah jenis Methamphetamine.

Lelaki berkenaan mendakwa minum air kopi itu di rumahnya di Pasir Puteh pada 4.30 petang Jumaat minggu lalu sebelum ujian saringan air kencing oleh polis 10 malam hari yang sama.

Lelaki berkenaan membuat laporan polis kerana didakwa teraniaya.

Disiarkan pada: October 12, 2019 @ 9:34am
d