mutakhir

Nelayan kembali ceria

Oleh Hassan Omar

“ALHAMDULILLAH, kami amat bersyukur dengan kesudian kerajaan menaikkan Elaun Sara Hidup Nelayan daripada RM200 kepada RM250 sebulan kerana walaupun kecil, ia amat bermakna buat kami.

“Akhirnya kami dapat semula RM50 yang sebelum ini pernah diberikan kepada kami dan wang itu sedikit sebanyak membantu kami menyara keluarga, terutama dalam keadaan harga kebanyakan barang sekarang naik,” kata nelayan, Mohamad Jantan, 72, ketika ditemui di Pangkalan Nelayan Kampung Paya Lebar, Lubok Cina dekat Alor Gajah, hari ini.

Mohamad Jantan berkata, pada pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional (BN), elaun berkenaan bernilai RM300 tetapi dikurangkan kepada RM200 pada 2019 apabila Kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara pada 2018.

Bagaimanapun, bagi tahun 2020, elaun berkenaan dinaikkan semula sebanyak RM50 bagi meringankan beban kos sara hidup nelayan.

Beliau berkata, walaupun kenaikan itu hanya RM50, ia tetap membantu nelayan untuk membiayai perbelanjaan harian, selain digunakan untuk perbelanjaan persekolahan anak.

Belanjawan 2020 yang dibentangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng, di Parlimen, semalam menyediakan peluang untuk nelayan menikmati kenaikan elaun berkenaan bagi mengurangkan bebanan kos sara hidup mereka.

Abdul Maulud Idris, 59, berkata kenaikan elaun itu sudah lama ditunggu nelayan kerana sejak ia dikurangkan kepada RM200, kebanyakan nelayan mengeluh kerana mengalami kekurangan sumber kewangan untuk menyara keluarga.

“Kami hidup ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang... sudah tentulah kenaikan elaun itu menggembirakan kami yang terpaksa menanggung bebanan perbelanjaan harian yang semakin meningkat.

“Sekarang harga kebanyakan barang makan sudah naik dan ia amat membebankan kami yang memperoleh rezeki tidak menentu, apatah lagi kalau musim ribut, kami tidak dapat turun ke laut mencari rezeki,” katanya.

Hassan Sulaiman, 59, berkata, walaupun tidak mendapat elaun sebanyak RM300 seperti sebelum ini, beliau tetap bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada Kerajaan Pakatan Harapan kerana prihatin terhadap nasib nelayan.

Disiarkan pada: October 12, 2019 @ 10:55am
d