mutakhir

Belanjawan 2020: Cepat baik pulih sekolah

Oleh Melvin Joni

PERUNTUKAN RM783 juta dalam Belanjawan 2020 untuk membaik pulih sekolah daif terutamanya bagi Sabah dan Sarawak diharap digunakan sepenuhnya agar sekolah khasnya di Sarawak akan dalam keadaan lebih selesa dan keselamatan lebih mantap.

Justeru, Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU) Macky Joseph berkata pihaknya mencadangkan percepatkanlah agenda ini agar setiap murid dan guru, juga pihak pentadbir dan staf sokongan dapat menikmati suasana sekolah yang kondusif.

Beliau turut mengesyorkan adanya pembinaan sekolah baharu di Sarawak, seperti yang akan dilaksanakan di Langkawi, Kulai, Hulu Langat, Putrajaya, Pasir Gudang , Tumpat, Marang dan Johor Bahru.

“Ini kerana ada sekolah-sekolah di Sarawak yang masih sesak keadaannya dan tidak mempunyai kelas yang mencukupi,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Selain itu, Macky gembira dengan keprihatinan kerajaan bagi memastikan sekolah kebangsaan ada kemudahan mesra OKU yang selari dengan dasar penolakan sifar yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan di mana tiada kanak-kanak OKU dinafikan hak pendidikan mereka.

Beliau juga menyambut baik peruntukan RM12 juta untuk kos utiliti dan diharapkan mampu meringankan beban kewangan bagi bayaran utiliti kepada 2000 sekolah bantuan kerajaan.

STU turut berterima kasih atas Bantuan Khas Kewangan RM500 diberikan kepada kakitangan awam Gred 56 dan ke bawah.

Disiarkan pada: October 12, 2019 @ 11:15am
d