mutakhir

Belanjawan 2020: Peruntukan tak seimbang - Ketua Whip GPS

Oleh Mohd Roji Kawi

BELANJAWAN 2020 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, semalam dianggap gagal memenuhi janji manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk rakyat Sarawak.

Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Parlimen, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, belanjawan yang dibentangkan itu sememangnya enak didengar, namun ada kekurangan kerana pengagihan peruntukan tidak seimbang antara dua negeri di Borneo.

Dua negeri itu menerima RM9.6 bilion untuk peruntukan pembangunan, namun ia hanya meliputi 17.1 peratus daripada keseluruhan dana pembangunan dalam Belanjawan 2020 dengan Sarawak hanya meneruma RM4.4 bilion, manakala Sabah menerima RM5.2 bilion.

“Manifesto PH menjanjikan 30 peratus dana pembangunan akan diagihkan kepada Sarawak dan Sabah, tetapi kenapa hanya 17.1 peratus yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2020?

“Sarawak pula terus menerima peruntukan jauh lebih kecil berbanding Sabah, sedangkan Sarawak negeri terbesar dengan keluasan hampir menyamai Semenanjung Malaysia,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, cara kerajaan PH mengagihkan peruntukan untuk Sarawak dan Sabah itu tidak adil sekaligus menyebabkan hasrat untuk merapatkan jurang pembangunan antara dua negeri itu dengan Semenanjung tidak akan dapat dicapai dalam masa terdekat.

“Kerajaan PH sendiri tidak mampu untuk menunaikan apa yang telah dijanjikan dalam manifesto kepada rakyat Sarawak sendiri,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan kenapa perincian projek membaik pulih sekolah daif tidak disebut dalam Belanjawan itu sedangkan kerajaan Sarawak sudah membayar RM350 juta sebagai bayaran awal untuk sejumlah RM1 bilion sebagai kontra.

“Kita mahu projek menaik taraf dan membina semula sekolah daif di negeri ini dipercepatkan untuk menjamin kebajikan anak-anak dan guru,” katanya.

Menurut Fadillah lagi, Belanjawan 2020 juga tidak menyentuh janji manifesto PH Sarawak untuk memulangkan 50 peratus cukai yang dikutip di Sarawak.

Malah beliau turut menganggap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak dihormati apabila Menteri Kewangan menyentuh mengenai semakan semula geran untuk Sarawak dan Sabah mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

“Kita menyambut baik hasrat Kerajaan Persekutuan untuk menaikkan geran kepada Sarawak dan Sabah, namun adakah ia sudah dibincangkan, diperincikan dan diluluskan di peringkat Jawatankuasa Teknikal yang ditubuhkan.

“Perkara seperti itu perlu dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Teknikal kerana kadar pemberian khas yang diterima Sarawak hanya RM64 juta sedangkan Sabah menerima RM106.8 juta,” katanya.

Disiarkan pada: October 12, 2019 @ 11:44am
d