mutakhir

6 warga asing pecah rumah dicekup

Oleh Norizuan Shamsuddin

POLIS menahan enam warga asing termasuk seorang wanita disyaki terbabit dengan kes pecah rumah hasil serbuan di dua lokasi di Kampung Rusila, Marang, semalam.

Dalam serbuan bermula 12.15 tengah malam itu, enam individu terbabit ditangkap sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu di kediaman dan chalet di Kampung Rusila.

Menurut sumber, penahanan semua suspek terbabit dilakukan susulan kes pecah rumah di Taman Green Acres, Kuala Ibai di Marang, Rabu lalu.

Katanya, kejadian menyebabkan mangsa kerugian RM20,000 selepas barangan berharga seperti jam tangan, telefon pintar, cincin, beg tangan berjenama dan wang tunai dilarikan penjenayah.

“Bertindak berdasarkan maklumat satu serbuan dilakukan sebuah kediaman tidak bernombor di Kampung Rusila, jam 12.15 tengah malam dan hasil pemeriksaan polis menahan lima individu termasuk seorang wanita di rumah terbabit.

“Polis turut merampas jam tangan, dua telefon pintar dan kunci kereta kawalan jauh.

“Hasil soal siasat terhadap suspek membawa kepada serbuan kedua di sebuah chalet di kampung berkenaan pada jam 12.40 tengah malam dan polis menahan seorang lelaki serta merampas empat telefon pintar, beg sandang, dompet serta cincin,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, saringan air kencing mendapati dua daripada suspek lelaki terbabit positif syabu dan semua suspek tidak memiliki rekod jenayah lampau.

“Lima lelaki terbabit didapati bekerja sebagai buruh manakala wanita berkenaan adalah suri rumah kepada salah seorang suspek,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan penahanandan siasatan lanjut sedang dilakukan berhubung kes terbabit.

“Kesemua suspek kini direman bagi siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah,” katanya.

Disiarkan pada: October 12, 2019 @ 1:54pm
d