mutakhir

6 bulan kaji laluan Serendah-Pelabuhan Klang

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

KEMENTERIAN Pengangkutan akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan projek pembinaan landasan baharu kereta api untuk penghantaran kargo dari Serendah ke Pelabuhan Klang.

Menterinya, Anthony Loke berkata, kajian terbabit dijangka siap dalam tempoh enam bulan sebelum diserahkan kepada kerajaan untuk menentukan hala tuju projek berkenaan.

Menurutnya, perancangan itu sudah dibuat sebelum ini dan kerajaan memberi kelulusan untuk melaksanakan kajian itu seperti diumumkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam Belanjawan 2020, semalam.

“Laluan khusus dari Serendah ke Pelabuhan Klang akan memudahkan pergerakan kargo dari utara ke kawasan pelabuhan itu dan mengurangkan jarak serta masa perjalanan.

“Ia akan menarik lebih banyak kilang menggunakan kereta api untuk mengangkut barangan mereka ke pelabuhan. Ini adalah projek strategik paling penting yang kita (Kementerian Pengangkutan) rancang dan mencadangkan kepada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Stesen KTM Nilai di Nilai, hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, J Arul Kumar; Pengurus Besar Perbadanan Aset Keretapi (RAC), Azhar Ahmad dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Mohd Hider Yusoff.

Sementara itu, Anthony berkata, projek menaik taraf kemudahan infrastruktur landasan kereta api berkembar elektrik di Lembah Klang Fasa 1 (KVDT 1) dijangka siap sepenuhnya pada Julai 2020.

Beliau berkata, projek berkenaan sepatutnya siap pada tahun ini tetapi berlaku kelewatan pada projek itu menyebabkan pihak kontraktor meminta dilanjutkan tempoh pelaksanaannya.

“Kita memantau dan berharap projek itu dapat disiapkan mengikut jadual ditetapkan supaya tidak mengganggu operasi dan pelaksanaan projek KVDT fasa kedua yang akan dimulakan tidak lama lagi,” katanya.

Katanya, projek KVDT 1 membabitkan 16 stesen di Lembah Klang manakala bagi projek KVDT 2 yang dilancarkan pada 3 September lalu, 28 stesen akan terbabit kerja menaik taraf.

Disiarkan pada: October 12, 2019 @ 2:05pm
d