mutakhir

Mangsa bunuh rancang kahwin Disember ini

Oleh Siraj Mohd Zaini

HASRAT wanita untuk mendirikan rumah tangga dengan tunangnya tidak kesampaian selepas lelaki itu ditemui mati dibunuh di kebun sayur di Jalan Tali Air, Dusun Durian, Kuala Langat, semalam.

Lelaki warga Bangladesh berusia 35 tahun itu bekerja di kebun sayur disewa tunangnya, namun dia ditemui meninggal dunia oleh pihak polis di kawasan belukar berhampiran kebun sayur berkenaan.

Jiran keluarga wanita berkenaan yang enggan dikenali berkata, dia mendapat tahu mereka bakal berkahwin pada Disember ini.

Katanya, wanita tempatan berusia 30-an itu berkenalan dengan lelaki itu sejak setahun lalu selepas dia mengusahakan tanah kebun berkenaan.

“Wanita itu menyewa tanah seluas 4 hektar daripada pemilik tanah asal dan lelaki itu mengusahakannya dengan menanam pelbagai sayuran sehingga membawa hasil pulangan lumayan.

“Mereka bertunang pada tahun lalu atas permintaan ibu kepada wanita itu yang melihat kesungguhan lelaki itu mencari rezeki dan diyakini boleh menjaga anaknya.

“Lelaki itu sudah tinggal selama 15 tahun di kawasan ini dan tempat tidurnya adalah di pondok di kebun sayur berkenaan,” katanya ketika ditemui Harian Metro, hari ini.

Sementara itu, sumber berkata, mangsa dibunuh dengan menggunakan peralatan tajam selain lehernya turut mempunyai kesan jerutan.

“Mayat mangsa dipercayai hendak dilupuskan pada hari kejadian, namun kehadiran tunang mangsa dan pihak polis di lokasi kejadian menyebabkan tindakan itu tidak dapat dilakukan,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintendan Kamalariffin Aman Shah berkata, mangsa gagal dihubungi tunangnya pada 8.30 pagi semalam sebelum dia membuat laporan polis di Balai Polis Banting.

Susulan itu, Kamalariffin berkata, sepasukan polis menjalankan siasatan di kebun terbabit bagi mencari mangsa.

“Di kawasan kebun berkenaan terdapat kolam air dan pondok dijadikan tempat tidur mangsa.

“Pemeriksaan di kolam kemudiannya menemui motosikal serta kereta sorong mangsa,” katanya.

Beliau berkata, khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) yang digunakan kemudiannya berjaya mengesan mayat mangsa di kawasan belukar kira-kira 100 meter dari kolam berkenaan.

Katanya, hasil soal siasat terhadap tunang mangsa, polis menahan tiga lelaki warga tempatan berusia 29 hingga 34 tahun yang dipercayai membunuh mangsa.

“Mayat mangsa kini berada di Hospital Banting untuk bedah siasat manakala tiga suspek berkenaan direman selama tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Berita berkaitan

'Pekebun ditemui mati dibunuh'

Disiarkan pada: October 12, 2019 @ 3:33pm
d