mutakhir

Polis akan panggil Zainal Kling

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

KETUA Eksekutif Sekretariat Kongres Maruah Melayu, Prof Emeritus Datuk Dr Zainal Kling akan dipanggil memberi keterangan dalam masa terdekat selepas didakwa mengeluarkan kenyataan boleh menimbulkan ketegangan kaum.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, kertas siasatan sudah dibuka selepas satu laporan polis dibuat ke atasnya berhubung ucapannya ketika Kongres terbabit.

Menurutnya, polis akan memanggilnya dalam masa terdekat untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Zainal dalam ucapan pembukaan tirai Kongres Maruah Melayu yang diadakan di Stadium Melawati, Shah Alam menyentuh isu berkaitan Perlembagaan Persekutuan, kedudukan Raja-Raja dan kedudukan istimewa orang Melayu.

Media sebelum ini melaporkan satu laporan polis dibuat terhadap Dr Zainal oleh Penang Society for Tamil Advancement, Yoganathan Loganathan.

Kongres itu turut disertai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta beberapa pemimpin tertinggi UMNO, PAS dan Pakatan Harapan.

Disiarkan pada: October 12, 2019 @ 7:08pm
d