mutakhir

Keluarga belum dipanggil cam mayat

Oleh Nur Saliawati Salberi

AHLI keluarga yang dipercayai mempunyai kaitan dengan penemuan mayat dikerat di Kampung Ladang Krubong, Melaka belum dipanggil untuk membuat sebarang pengecaman.

Malik Faizal Aris, 37, abang ipar kepada Norfazera, 27, wanita yang dipercayai mati dibunuh bersama anak lelakinya berusia 11 tahun itu berkata, walaupun mereka hadir ke Jabatan Forensik Hospital Melaka pagi hari ini tetapi masih belum dipanggil oleh pihak berkaitan bagi membuat pengecaman untuk mengenal pasti identiti mayat terbabit.

“Saya bersama beberapa ahli keluarga pergi ke hospital kira-kira 8.30 pagi tadi tetapi diminta untuk pulang dahulu.

“Pegawai polis yang bertanggungjawab meminta untuk tunggu bagi tindakan selanjutnya,” katanya ketika ditemui di rumah ibu mentuanya di Taman Merdeka hari ini.

Menurutnya, ibu mentuanya masih terkejut dengan kejadian yang menimpa adik ipar dan anak saudaranya itu.

“Dengan keadaan kesihatannya yang menghidap darah tinggi dan kanser, kami tidak membawanya sekali ke hospital,” katanya.

Usaha pihak media untuk mendapatkan ibu dan kakaknya juga tidak berhasil kerana mereka masih terkejut dan sedih dengan kejadian yang berlaku.

Harian Metro pada Khamis melaporkan mayat individu dipercayai mangsa bunuh ditemui dikerat sekurang-kurangnya lapan bahagian di Kampung Ladang, Krubong pada 4 petang.

Mayat mangsa dalam keadaan tanpa pakaian itu ditemukan berselerakan di kawasan semak.

  • Lagi berita berkaitan Mayat Dikerat Lapan
  • Disiarkan pada: October 12, 2019 @ 7:10pm
    d