mutakhir

Bunuh rakan suka curi wang

Oleh Nur Izzati Mohamad

BERANG kerana mendakwa wang miliknya kerap dicuri rakan senegara, seorang lelaki warga Myanmar memukul rakannya itu tanpa belas kasihan menggunakan paip besi ketika bergaduh di sebuah rumah di Permatang Batu, Bukit Mertajam, semalam.

Akibatnya, mangsa dikenali sebagai Alam, 30-an, meninggal dunia pada 12.40 tengah hari, hari ini selepas hampir 24 jam dirawat di Unit Kecemasan Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Ketika dibawa ke hospital, mangsa sudah tidak sedarkan diri dan pemeriksaan mendapati tempurung kepala serta tulang mukanya retak, pendarahan otak, patah tangan serta kaki kanan, patah kaki kiri dan paru-paru kanan bocor.

Berdasarkan kepada kecederaan dialaminya itu, mangsa dikatakan dipukul bertubi-tubi oleh suspek yang naik angin dan menyerangnya menggunakan paip besi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, polis menerima laporan terdapat pergaduhan menyebabkan mangsa parah dipukul dengan sebatang paip besi oleh rakan senegaranya.

“Kejadian berlaku pada 1.45 tengah hari semalam apabila rakan serumah terdengar bunyi bising di ruang tamu sebelum terkejut melihat suspek memukul mangsa hingga tidak sedarkan diri.

“Rakan serumah cuba membantu menyelamatkan mangsa dengan menghalang suspek, namun dia turut dipukul sebelum melarikan diri menggunakan pintu belakang untuk meminta bantuan rakan lain,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, sebaik rakan serumahnya tiba semula ke kediaman berkenaan bersama rakan lain, suspek didapati sudah menghilangkan diri.

Beliau berkata, rakan serumah kemudian membawa mangsa ke hospital dan mereka membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit.

Katanya, susulan itu, pihaknya berjaya menjejaki dan menahan suspek di Jalan Padang Lalang Taman Desa Damai, Bukit Mertajam pada 2.15 petang hari ini.

“Kami merampas pakaian dan sebatang paip besi padat putih yang dipercayai digunakan suspek ketika memukul mangsa.

“Hasil siasatan awal, suspek yang berusia 54 tahun itu mendakwa dia memukul mangsa kerana geram dengan rakan senegaranya itu yang kerap mencuri wang miliknya sebelum ini.

“Selain itu, suspek mendakwa dia berang kerana mangsa sebelum ini pernah menghalaunya keluar dari rumah sewa,” katanya.

Difahamkan, mangsa dan suspek berkawan dan tinggal serumah sejak empat tahun lalu, namun hubungan mereka renggang selepas suspek dihalau keluar rumah dua bulan lalu.

Disiarkan pada: October 12, 2019 @ 7:55pm
d