mutakhir

Penghibur pasar Datuk Keramat

Oleh Faliq Lajim

KUALA LUMPUR: Walaupun baru berusia 16 tahun, namun kelincahannya bermain gitar elektrik seolah-olah pemain muzik profesional.

Bukan saja pandai memetik gitar menggunakan tangan, Muhd Aizil Alif Rosli turut bermain alat muzik itu menggunakan giginya.

Malah, kelancarannya memetik lagu-lagu legenda seperti Highway Star daripada Deep Purple, Canon Rock (JerryC) dan Attitude daripada Guns N’ Roses memukau setiap pengunjung di Pasar Datuk Keramat, di sini.

Menurutnya, dia mula bermain gitar sejak berusia 12 tahun dengan hanya menggunakan gitar mainan adiknya.

“Sebelum ini, minat saya lebih ke arah bola sepak. Saya langsung tidak pernah terfikir nak masuk dalam bidang muzik.

“Namun, selepas terdengar ayah main lagu ‘Happy Birthday’ menggunakan gitar mainan membuatkan saya terus nak cuba main alat muzik.

“Daripada petik guna gitar mainan, ayah mula belikan gitar ‘kapok’ dan mula mengajar saya sehingga sanggup berhabis duit untuk hantar saya masuk kelas gitar,” katanya kepada Metro Ahad.

Menurutnya, dia beruntung ibu dan bapanya sentiasa memberi sokongan penuh selagi dia tidak mengabai pelajarannya di sekolah.

Sehingga kini, Muhd Aizil Alif pernah mendapat tunjuk ajar daripada pemain gitar kumpulan Sweet Charity iaitu Rosli Mohalim, Man Kidal (Lefthanded), Kid (Search) dan Zulkif daripada kumpulan Headwind.

“Mereka bukan saja ajar saya bermain gitar, malah turut berkongsi pengalaman sepanjang menjadi pemuzik terkenal,” katanya.

Muhd Aizil Alif berkata, dia mula mendapat keyakinan bermain gitar di hadapan orang ramai selepas mendapat dorongan daripada bapanya.

“Saya mula bermain di depan gerai ayah pada usia 13 tahun. Sebelum ini, saya dan abang (Muhd Airil Nizam, 19) banyak menghabiskan masa hujung minggu membantu ayah di gerai makan.

“Apabila ayah nampak kami minat dalam muzik, dia kemudian meminta kami berdua buat persembahan untuk pelanggan yang hadir.

“Mula-mula, kami buat hanya saja suka-suka, namun tidak sangka mendapat perhatian orang ramai yang mengunjungi pasar ini,” katanya.

Dia berkata, daripada situ ada pengunjung mula berikan wang apabila melihat persembahan mereka.

“Duit itu kami kumpul dan simpan untuk kegunaan masa depan selain dapat membeli peralatan muzik.

“Cuma sekarang saya kena mula belajar menyanyi sendiri berikutan abang sudah masuk sebuah program televisyen,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besi itu.

Disiarkan pada: October 13, 2019 @ 5:50am
d