mutakhir

Bau gas sangat kuat

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

PUTRAJAYA: “Saya terdengar bunyi letupan dan terkejut. Kemudian saya terasa bahang serta terhidu bau gas sangat kuat,” kata Sri Rahayu Sugiono, 35, seorang daripada 16 mangsa yang cedera susulan belon meletup di Dataran Putrajaya semalam.

Menurutnya, sewaktu kejadian, dia bersama tiga anak, Nur Haffiqah Khalid, 4, Mohd Haffizal, 5, dan Nur Haffizah, 6, berada jauh dari lokasi belon itu meletup.

“Ketika itu baru selesai sesi penyampaian hadiah dan ada belon (yang digunakan gimik pelancaran) berada di bawah pentas. Selepas bunyi letupan, anak saya menangis.

“Susulan itu, datang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan terus memberikan bantuan kepada ketiga-tiga anak saya yang cedera,” katanya di pekarangan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Putrajaya di sini, semalam.

Sri Rahayu berkata, berikutan kejadian itu, anak sulungnya melecur ringan di belakang badan selepas terkena serpihan belon berkenaan.

“Anak kedua ada kesan merah di dalam telinga kiri dan akan membuat rawatan susulan di klinik kesihatan manakala, anak ketiga saya melecur ringan di belakang telinga.

“Saya cuma terasa bahang di muka dan tangan tetapi semakin berkurangan,” katanya.

Ditanya keadaan ketika itu, Sri Rahayu berkata, dia terdengar kanak-kanak menangis manakala, suasana di tempat kejadian kelam kabut.

Dia dan tiga anaknya dibenarkan pulang hari ini.

Seorang lagi ibu mangsa yang enggan dikenali berkata, dia terdengar bunyi letupan dari jauh dan anak lelakinya berlari serta terus memeluknya.

“Ketika kejadian, anak saya berada dekat pentas utama dan program sudah tamat dan bersiap untuk pulang. Tiba-tiba dia datang dan memeluk saya.

“Anak saya melecur kecil dan tidak serius,” katanya.

Disiarkan pada: October 13, 2019 @ 6:20am
d