mutakhir

Saya tak putus berdoa untuk abang... [METROTV]

Oleh Mohd Rafi Mamat

“SETIAP hari, saya tidak putus-putus berdoa memohon kepada Allah semoga suami sedar dari koma dan pulih sepenuhnya.

“Saya sedih melihat keadaannya yang kini hanya terlantar di katil sejak terbabit dalam kemalangan pada 14 September lalu,” kata Lenny Jefferina, 37.

Lenny adalah isteri kepada anggota polis, Koperal Mohd Zul Fadhli Adnan, 28, yang juga bekas juara silat remaja dunia 2007.

Katanya, Mohd Zul Fadhli yang menunggang motosikal kuasa tinggi terbabit kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) kira-kira enam kilometer (km) daripada susur keluar tol Gambang, di Kuantan, bulan lalu.

Menurutnya, kemalangan berkenaan menyebabkan suaminya mengalami pendarahan dalam kepala, patah bahu kiri dan tulang rusuk kiri.

Katanya, selepas sembilan hari berada di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, Mohd Zul Fadhli kemudian dipindahkan wad biasa selama tiga minggu sebelum dibenarkan pulang walaupun keadaannya masih lagi koma tahap dua.

“Saya mengharapkan sokongan orang ramai supaya dapat mendoakan suami saya kembali sedar daripada koma dan pulih seterusnya dapat meneruskan tugas sebagai anggota polis.

“Doktor pakar diHTAA memaklumkan gegaran dan kecederaan di kepala menyebabkan suami koma dan mereka menjangkakan suami akan sedar sekurang-kurangnya dalam tempoh dua bulan,” katanya yang berasal dari Sarawak.

Lenny mempunyai lima cahaya mata berusia antara satu hingga 14 tahun kini terpaksa menumpang sementara di rumah mentuanya di Taman Seri Inderapura.

Menurutnya, suaminya kini hanya bergantung kepada susu khas yang diberikan sebanyak enam kali sehari menerusi tiub di hidungnya.

Malah, leher Mohd Zul Fadhli lehernya terpaksa ditebuk untuk dimasukkan tiub untuk mengeluarkan kahak dan juga memakai lampin pakai buang.

“Majikan suami mengambil berat keadaannya dan sentiasa bertanya khabar, difahamkan mereka sedang berusaha menyediakan bantuan diperlukan bagi meringankan beban ditanggung,” katanya.

Mohd Zul Fadhli muncul sebagai juara silat remaja dunia bagi kategori 54 hingga 57 kilogram (kg) dalam Kejuaraan Silat Remaja Dunia 2007 di Singapura.

Dia juga turut membawa cabaran kontinjen silat negara pada beberapa kejohanan peringkat antarabangsa selain mewakili Pahang pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2008 di Terengganu selain kejohanan kebangsaan.

Mohd Zul Fadhli yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang, Terengganu turut memikul tugas sebagai jurulatih silat bagi kontinjen polis Terengganu.

Sementara itu bapa Mohd Zul Fadhli, Adnan Ghani, 58, keadaan anaknya kini menunjukkan perkembangan yang positif berbanding sebelum ini.

“Dia sudah mula membuka mata dan ada tindak balas apabila namanya dipanggil, saya berharap tidak lama lagi dia akan sedar sepenuhnya,” katanya.

Disiarkan pada: October 13, 2019 @ 2:11pm
d