mutakhir

LTTE: Rakyat jangan terkeliru

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

POLIS menasihatkan rakyat di negara ini tidak keliru antara simpati terhadap nasib etnik Tamil di Sri Lanka dan menyokong kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tidak salah jika mereka ingin menyatakan simpati kepada etnik Tamil di sana, malah secara peribadi beliau juga simpati dengan nasib menimpa etnik terbabit.

Bagaimanapun katanya, menjadi satu kesalahan apabila perasaan simpati itu ditunjuk dengan menyokong LTTE kerana kumpulan itu sudah disenaraikan sebagai pengganas sejak 2014 di negara ini.

“Saya sendiri simpati dengan nasib mereka namun tidak bermakna saya menyokong LTTE.

“Jangan keliru dengan nasib etnik Tamil di Sri Lanka dengan kekejaman dan keganasan yang dilakukan LTTE,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di Kuala Lumpur, hari ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan tujuh individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Negeri Sembilan dan Melaka ditahan kerana disyaki terbabit dengan perjuangan kumpulan pengganas LTTE.

Mereka itu ditahan di Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah dalam operasi khas bermula 9 pagi hingga 2 petang pada Khamis lalu.

Susulan itu, lima lagi individu termasuk guru, Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri dan ketua pegawai eksekutif (CEO) perbadanan anak syarikat kerajaan Melaka ditahan dalam operasi susulan semalam.

Ini menjadikan jumlah mereka ditahan setakat ini adalah seramai 12 orang kerana disyaki mempromosi, menyokong, menghasut, menggalak, mencari dana dan memiliki item berkaitan LTTE.

Berita berkaitan

LTTE: Ada bukti, polis tahan

LTTE: Seorang guru ditahan

Disiarkan pada: October 13, 2019 @ 3:07pm
d