mutakhir

Masih ada peluang di sebalik tembok besi

Oleh Norizuan Shamsuddin

“SYUKUR masih ada peluang untuk saya mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) walaupun berada di sebalik tirai besi.

“Sebelum ini saya bersekolah sehingga darjah enam saja kerana kekangan kewangan dihadapi keluarga,” kata Ali, 21, penghuni Penjara Marang.

Dia antara 16 pelajar yang bakal menduduki SPM dari Sekolah Integriti Penjara Marang (SIPM) mulai 5 November ini.

Kehidupan di sebalik tembok besi berjaya mengubah anak sulung daripada tiga beradik yang berasal dari negeri ini ke arah lebih positif.

Ali yang dijatuhi hukuman penjara lima tahun berkata, dia bersyukur kerana hukuman itu memberi hikmah kepadanya untuk berubah.

Katanya, selepas setahun menjalani hukuman dia mengambil keputusan menyambung persekolahan kerana tidak mahu mengecewakan keluarga terutama ibu.

“Walaupun hanya belajar dalam masa singkat iaitu empat bulan di sekolah ini saya lulus semua tujuh subjek yang diambil ketika peperiksaan percubaan SPM.

“Saya sasar dapat 4 A daripada semua subjek yang diambil dan jika ada peluang saya akan sambung ke peringkat lebih tinggi,” katanya ditemui pada Majlis Restu Ilmu SIPM di Penjara Marang hari ini.

Program yang dirasmikan Pengarah Penjara Marang, Penolong Kanan Komisioner Wan Sani Ab Latiff terbabit turut dihadiri ibu bapa serta ahli keluarga pelajar SIPM yang bakal menduduki SPM.

Ibu Ali yang mahu dikenali Rahimah, 48, berkata, dia bersyukur dengan perubahan ketara anaknya yang menjalani hukuman penjara terbabit.

“Saya mendoakan dia dapat keputusan cemerlang dan menjalani kehidupan dengan lebih baik selepas ini.

“Ada hikmah di sebalik ujian ini dan saya tak sangka di dalam penjara masih ada peluang untuk penghuni menyambung pelajaran, mempelajari agama dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Wan Sani berkata, 16 pelajar SIPM bakal menduduki SPM tahun ini.

Katanya, semua pelajar itu juga berjaya memperolehi keputusan peperiksaan percubaan SPM sebelum ini.

“Kita yakin mereka mampu mendapat keputusan baik dalam SPM sekali gus mengubah persepsi masyarakat terhadap penghuni penjara.

“Kita juga berusaha memastikan penghuni mendapat ilmu, celik huruf dan agama menerusi pelbagai program,” katanya.

Disiarkan pada: October 13, 2019 @ 5:54pm
d