mutakhir

Mahu berdakwah kepada penagih

Oleh Nor Farhani Che Ad

MENJALANI pemulihan dadah di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) tidak mematahkan semangat pemuda ini untuk meneruskan minatnya dalam berpidato.

Minat Ahmad (bukan nama sebenar), 36, terbukti apabila dia meraih tempat pertama dalam kategori pidato pada Program Daie Unggul AADK Tahun 2019 semalam.

Malah, bekas penjawat awam itu berhasrat meneruskan minatnya selepas dibebaskan nanti dalam bentuk berdakwah kepada golongan yang terjebak dalam penagihan dadah.

Ahmad mula terbabit dalam penagihan dadah sejak usia 23 tahun, namun ditahan buat pertama kali pada November tahun lalu.

“Hidup di dalam pusat pemulihan ini memberi keinsafan kepada saya yang selama ini hanyut dengan najis dadah.

“Dengan kelebihan yang ada, saya harap bila keluar nanti saya dapat membantu penagih di luar sana untuk kembali ke pangkal jalan,” katanya ketika ditemui sempena program itu di Pusat Latihan AADK (PLAK) di Sungai Petani, semalam.

Majlis penutupan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan negeri, Datuk Dr Ismail Salleh.

Dalam pertandingan itu sebanyak empat kategori lain turut dipertandingkan iaitu tilawah, hafazan, azan dan nasyid.

Sementara itu, johan kategori tilawah, Zaki (bukan nama sebenar), 42, berkata biarpun tiada asas dalam bidang tilawah namun tunjuk ajar guru agama di PUSPEN memberi keyakinan kepadanya menyertai pertandingan itu.

“Saya mengambil masa selama sebulan untuk belajar teknik dan cara bacaan selain lagu yang perlu disampaikan.

“Apa yang penting, sepanjang saya berada di PUSPEN, saya dapat mendekatkan diri dengan al-Quran dan jiwa saya berasa lebih tenang,” katanya.

Zaki yang berasal dari Kuala Lipis, Pahang ditahan Januari lalu selepas gagal melapor diri di balai polis seperti yang ditetapkan di bawah syarat orang kena pengawasan (OKP).

Disiarkan pada: October 13, 2019 @ 6:06pm
d