mutakhir

Banyaknya sampah di Sungai Skudai

Oleh Mohd Sabran Md Sani

LIMA tan metrik sampah dikutip setiap bulan menerusi perangkap sampah yang dipasang di sekitar Sungai Skudai, Johor Bahru.

Menteri Besar Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, sebahagian besar sampah itu dibuang penduduk ke dalam sungai berkenaan.

“Saya diberitahu, dua kali sampah dikeluarkan dari sungai itu setiap minggu dengan jumlah lima tan sampah sebulan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di lokasi perangkap sampah atau ‘log boom’ Sungai Skudai hari ini.

Mengulas lanjut hasil lawatan itu beliau berkata, kebanyakan kawasan di Sungai Skudai dikategorikan tercemar dan sangat tercemar.

“Dia (tahap pencemaran Sungai Skudai) ada tahap 3, 4 dan 5, selain bergantung di mana kedudukan lokasi sungai itu.

“Kalau terletak di kawasan perumahan, kebanyakannya berada pada tahap lima (sangat tercemar) kerana isu pembentungan,” katanya.

Beliau berharap orang ramai, masyarakat dan agensi kerajaan bekerjasama menjaga kebersihan sungai terutama Sungai Skudai supaya tidak tercemar.

Katanya, hasil tinjauan di Sungai Skudai hari ini mendapati masyarakat tidak peka dengan perangkap sampah yang dipasang.

“Dua ke tiga perangkap sampah ini didapati tidak mendapat kerjasama masyarakat.

“Mereka tidak peka untuk menjaga kebersihan dan suka membuang sampah di dalam sungai hingga sungai kita masih tercemar,” katanya.

Disiarkan pada: October 13, 2019 @ 6:39pm
d