mutakhir

[UPDATE] Dua beranak jarang keluar

Oleh Ibrahim Isa

KALI terakhir ahli keluarga melihat wanita yang mayatnya ditemui di ruang tamu rumah di Taman Impian Emas, Johor Bahru adalah pada 30 September lalu.

Menurut anak kedua wanita itu dikenali Lee, 27, dia bertemu ibunya pada tanggal itu sebelum keluar bekerja di Taman Permas Jaya.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, anak mangsa juga mendakwa ketika pertemuan itu, mendiang ibunya dalam keadaan baik.

“Dia pulang ke rumah ibunya pada 11.10 malam (semalam), namun mendapati pintu rumah berkunci dan ibunya tidak menyahut panggilannya.

“Lee kemudian memanjat jeriji untuk melihat keadaan di dalam rumah sebelum mendapati ibunya terbaring di ruang tamu. Dia menghubungi bomba untuk bantuan.

“Sebaik pintu dibuka, Lee mendapati adik perempuannya berusia 22 tahun yang menghidap sindrom down berada di dalam bilik air utama seorang diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Taib juga mengesahkan bukan budak lelaki usia 12 tahun yang ditemui terperangkap sebaliknya, wanita menghidap sindrom down.

Katanya, mangsa berkemungkinan sudah meninggal dunia antara empat ke lima hari lalu.

Menurutnya, mendiang juga tinggal bersama anak perempuannya itu dan jarang berkunjung ke rumah keluarga atau anak lain yang tinggal di sekitar Johor Bahru.

Terdahulu, katanya Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin memaklumkan penemuan mayat wanita berusia 63 tahun itu pada 1.10 pagi.

Susulan itu, mayat wanita dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Berita berkaitan

Terperangkap bersama mayat ibu

Disiarkan pada: October 13, 2019 @ 8:25pm
d