mutakhir

Empat jam dalam cerun

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

LELAKI ini berdepan detik cemas lebih empat jam apabila terjatuh dalam cerun sedalam 10 meter selepas tersesat ketika mencari rakannya di Bukit 300, Teluk Batik, Lumut, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.40 malam, lelaki berusia 20 tahun terbabit sebelum itu mendaki bukit berkenaan secara berasingan daripada lima rakannya pada jam 6.30 petang sebelum dihubungi rakan yang sesat untuk meminta bantuan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Manjung, Shuib Idris berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.45 malam sebelum sepasukan anggota dan jentera dengan bantuan BBP Sitiawan ke lokasi untuk tindakan lanjut.

Katanya, mangsa tersesat ketika mencari lima rakannya kerana melalui jalan pintas dan kemudian dia terjatuh dalam cerun sebelum menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan.

“Mangsa ditemui pada jam 10.55 malam dalam keadaan lesu namun tidak cedera, hanya calar di badan akibat terjatuh di cerun kira-kira 400 meter dari kaki bukit.

“Bomba membawa keluar mangsa dari cerun itu menggunakan tali,” katanya ketika dihubungi semalam.

Katanya, semua rakan mangsa berusia 11 hingga 20-an yang sesat itu bagaimanapun berjaya turun sendiri dan selamat.

“Bomba menyerahkan mangsa kepada pihak hospital untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 11.55 malam,” katanya.

Disiarkan pada: October 14, 2019 @ 6:01am
d