mutakhir

'Jangan sia-siakan wanita' - TPM

Oleh Hairulazim Mahmud

RAMAI wanita yang berkebolehan tidak dimanfaatkan untuk memajukan negara, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kadar penyertaan wanita dalam pasaran pekerjaan di Malaysia berada pada tahap 55.2 peratus pada tahun 2018 berbanding lelaki pada tahap 80.4 peratus.

“Ia jelas menunjukkan terdapat ramai wanita yang berkebolehan, tetapi keadaan itu tidak dapat dimanfaatkan.

“Untuk mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi, sumber tenaga buruh dalam kalangan wanita ini mestilah dicungkil dan dimanfaatkan,” kata beliau pada Majlis Perasmian Konvensyen Wanita dan Keluarga Kebangsaan di Putrajaya, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, banyak kajian mendapati wujudnya jurang yang besar dalam peluang ekonomi antara wanita dan lelaki.

Kata beliau, Bank Dunia menganggarkan peningkatan pendapatan per kapita sebanyak 23.7 peratus bagi jangka pendek dan 26.2 peratus bagi jangka panjang sekiranya jurang itu dihapuskan bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam ekonomi.

Dalam pada itu, beliau berkata, ada wanita terpaksa mengorbankan peluang untuk bekerja secara formal kerana tanggungjawab di rumah, selain ada yang bekerja secara tidak formal disebabkan tuntutan ekonomi keluarga dan keadaan tidak mengizinkan.

“Senario itu mendedahkan mereka kepada pelbagai risiko daripada sudut keselamatan, kesejahteraan dan jaminan punca pendapatan tidak kira dalam jangka masa pendek atau panjang,” kata beliau.

Berkaitan Belanjawan 2020, Dr Wan Azizah yakin ia seimbang dan mampu merealisasikan hasrat untuk meningkatkan pembabitan wanita dalam pembangunan ekonomi.

“Ia juga mampu menghapuskan jurang ‘gender’ yang akan dapat dicapai dengan agresif serta signifikan,” kata beliau.

Disiarkan pada: October 14, 2019 @ 12:58pm
d