mutakhir

Sampai menggigil di kandang tertuduh [METROTV]

Oleh Mohd Rizal Abdullah

LELAKI Rohingya menggigil ketika dituduh di Mahkamah Sesyen, Alor Setar hari ini, atas tuduhan menceroboh kawasan Hutan Simpan Koh Moi pada Mac lalu.

Moktul Husson Guramiah, 25, yang berada dalam kandang tertuduh, dilihat berkeadaan demikian ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Mengikut pertuduhan, dia bersama Abdullah Hassan, 58, didakwa menceroboh kompartment 11 kawasan Hutan Simpan Koh Moi, pada 10.30 pagi, 9 Mac 2019, dengan niat untuk mengusahakan kawasan hutan simpan tanpa kebenaran sah.

Pencerobohan itu menjadi satu kesalahan mengikut Seksyen 81(1)(g) Akta Perhutanan Negara 1984.

Tertuduh bersama individu sama turut didakwa membersih atau membajak mana-mana tanah untuk tujuan tanaman tanpa kebenaran sah di lokasi sama iaitu satu kesalahan mengikut Seksyen 81(1)(e) akta sama.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah dan memohon hukuman dikurangkan kerana perlu menanggung keluarga di Myanmar.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia Mason Jaro Lenya Barayan.

Mahkamah kemudian menetapkan 13 November depan untuk keputusan.

Disiarkan pada: October 14, 2019 @ 4:36pm
d