mutakhir

Kejutan 'Mat Jambu'

Oleh Suraya Roslan

TERUJA bakal menimang cahaya mata perempuan, seorang ibu membelikan kelengkapan bayi dengan warna serba merah jambu sebagai persiapan menyambut kelahiran anak keenamnya.

Namun, apa yang berlaku sebaliknya apabila wanita terbabit melahirkan zuriat lelaki walaupun ujian imbasan yang dilakukan sebanyak dua kali itu sebelum itu menunjukkan mengandungkan anak perempuan.

Atas sebab itulah, Suhaida Mohd Suhaimi, 29, terpaksa menggunakan kelengkapan serba merah jambu yang dipakaikan kepada anak lelakinya.

Menceritakan kisah lucu itu, Suhaida berkata, semua ujian imbasan dilakukan termasuk menerusi teknologi empat dimensi (4D) ketika kandungan berusia enam dan sembilan bulan menunjukkan positif kandungannya adalah anak perempuan.

"Sehinggalah bersalin di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru pada 27 September lalu, saya terkejut sebaik dimaklumkan doktor bahawa anak yang dilahirkan adalah lelaki.

"Dalam keadaan masih sakit, saya masih boleh ketawa sebaik melihat jantina anak dan ia memberi kejutan buat saya tetapi tetap bersyukur asalkan anak sihat.

"Ketika masih dalam kandungan, saya sudah memilih nama anak Annur Annis Eryna kerana menyangkakan perempuan, selepas lahir anak lelaki membuatkan saya dan suami menamakan Muhammad Aqil Amsyar yang kini sudah berusia 17 hari," katanya kepada Harian Metro.

Kisah Suhaida itu menjadi tular di Facebook (FB) apabila ramai netizen menganggap pengalaman lucu itu sebagai kejutan terbesar buat pasangan suami isteri berkenaan yang menggelar anak lelaki mereka ‘Mat Jambu’ kerana memakai pakaian warna merah jambu.

"Disebabkan saya sudah membeli semua kelengkapan bayi dengan warna merah jambu, saya terpaksa memakaikan Aqil dengan warna berkenaan.

"Selepas habis berpantang barulah saya akan beli semula kelengkapan untuk bayi lelaki pula, sementara ini kami terpaksa mengenakan kelengkapan dan pakaian merah jambu kepadanya," katanya yang mempunyai empat anak lelaki dan dua perempuan dengan anak sulungnya berusia 10 tahun.

Disiarkan pada: October 14, 2019 @ 7:29pm
d