mutakhir

Hujan lebat landa KL

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

“SECARA tiba-tiba saya lihat tanah di bahagian atas menurun dan menutup sedikit laluan pejalan kaki dan segera melaporkan kejadian itu kepada pihak pengurusan,” kata Nur Afikah Othman, 26.

Ketika kejadian petang hari ini itu, dia sedang menjalankan tugas kawalan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Institut Latihan Kemas, Jalan Syed Putra di Kuala Lumpur.

Menurutnya, kejadian berlaku berikutan hujan lebat yang bermula 3 petang tadi.

“Ketika itu hujan lebat, saya sedang melakukan tugas kawalan keselamatan sebelum melihat pergerakan tanah dan secara perlahan menghentam tembok pagar.

“Nasib baik ketika itu tiada pejalan kaki di laluan berkenaan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Tinjauan Harian Metro mendapati beberapa lokasi sekitar ibu negara dinaiki air selain berlaku kejadian pokok tumbang.

Antara lokasi yang terjejas dan dinaiki air ialah Jalan Damansara, Jalan Istana, Jalan Parlimen, Bulatan Dato Onn, Jalan Kuching, Jalan Semantan dan Jalan Duta, Segambut, Segambut Dalam, Kampung Masjid Segambut, Mont Kiara dan Batu Caves.

Sementara itu, Pegawai Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur Kapten Shahrul Kamar Mohd Johari berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan pokok tumbang di beberapa kawasan.

“Dua kenderaan dilaporkan rosak dalam kejadian pokok tumbang di Batu Caves, kejadian serupa juga dilaporkan berlaku di Segambut Bahagia dan Jalan Mont Kiara utama.

“Seramai 20 anggota APM Kuala Lumpur dikejarkan ke lokasi berkenaan bagi melakukan pemantauan dan memotong pokok tumbang terbabit,” katanya.

Shahrul berkata, tiada pusat pemindahan sementara dibuka setakat ini dan tiada individu dilaporkan cedera dalam kejadian itu.

“Difahamkan banjir kilat di kawasan terjejas masih belum surut, manakala kerja pengalihan pokok tumbang sedang giat dijalankan,” katanya.

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) menerusi akaun Facebook (FB) rasminya menasihatkan orang ramai mengikut arahan anggota trafik yang bertugas.

“Susulan hujan lebat bermula pada 3.45 petang sehingga kini menyebabkan banjir kilat dan mengganggu aliran trafik sekitar pusat bandar raya.

“Sekitar Jalan Parlimen berhampiran bulatan Dato Onn di kedua arah dinaiki air dan hanya kenderaan berat boleh melaluinya.

“Sementara itu, berlaku kejadian pokok tumbang di Jalan Kuching hingga menutup separuh laluan dan mengganggu aliran trafik ke Selayang,” katanya.

Disiarkan pada: October 14, 2019 @ 7:57pm
d