mutakhir

Saksi nafi bersekongkol dengan Jho Low

Oleh Nasharuddin Muhammad dan Murni Wan Omar

BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi menafikan beliau bersekongkol dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low untuk menyembunyikan kebenaran berhubung keadaan sebenar syarikat itu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan balas peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Muhammad Shafee merujuk kepada saksi kesembilan itu terhadap surat yang menyatakan dokumen membabitkan 1MDB hanya boleh diberikan kepada Jabatan Audit Negara selepas memperoleh kebenaran daripada beberapa pihak terlebih dahulu.

SHAFEE: Surat ini menyatakan bahawa untuk melepaskan dokumen 1MDB, kebenaran perlu diperoleh daripada Ahli Lembaga Penasihat 1MDB, Ahli Lembaga Pengarah 1MDB dan juga rakan kongsi pelaburan, Mubadala Co dan PetroSaudi Investment Limited (PSI). Kenapa perlu mendapatkan kebenaran mereka?

SHAHROL: Ia adalah kerana maklumat yang diminta adalah butiran membabitkan pelaburan dengan rakan pelaburan ini dan mereka tidak mahu dokumen itu diperoleh pihak lain, selain 1MDB.

SHAFEE: Adakah kamu mahu mengatakan bahawa 1MDB sepatutnya dikendalikan seperti entiti rahsia?

SHAHROL: Saya tidak berkata begitu.

SHAFEE: Kamu mengatakan bahawa Jabatan Audit Negara tidak boleh dipercayai?

SHAHROL: Tidak setuju.

SHAFEE: Saya cadangkan kepada kamu, kamu sebenarnya bersekongkol dengan Jho Low apabila menyembunyikan kebenaran berhubung 1MDB. Ini adalah kerana kamu bersekongkol dengan Jho Low disebabkan transaksi mencurigakan berhubung bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN)?

SHAHROL: Tidak setuju.

SHAFEE: Saya cadangkan kepada kamu bahawa kamu bukanlah naif dengan mengikut semua arahan Jho Low?

SHAHROL: Tidak setuju.

Sementara itu, menjawab soalan Muhammad Shafee berhubung surat Jabatan Audit Negara kepada 1MDB berhubung keengganan syarikat itu untuk memberi akses penuh kepada dokumen, saksi itu berkata, ia adalah arahan Ahli Lembaga Pengarah.

SHAFEE: Saya cadangkan 1MDB sebenarnya melengah-lengahkan permintaan Jabatan Audit Negara?

SHAHROL: Setuju.

SHAFEE: Saya cadangkan ia tiada kena mengena dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak?

SHAHROL: Tidak setuju.

SHAFEE: Jho Low membuat 1MDB seperti syarikat milik sendiri dan kamu hanya ikut sahaja arahan dia?

SHAHROL: Dia menyampaikan arahan daripada pemegang saham dan saya hanya mengikut arahan pemegang saham.

SHAFEE: Kamu membuatnya tanpa mesyuarat atau pertemuan dengan pemegang saham?

SHAHROL: Ya.

SHAFEE: Kamu lebih percaya dengan Jho Low berbanding Jabatan Audit Negara?

SHAHROL: Ya.

SHAFEE: Adakah Jho Low pemegang saham?

SHAHROL: Dia mewakili pemegang saham.

Terdahulu, Shahrol memberitahu mahkamah bahawa Jho Low ada memberi amaran supaya berhati-hati berhubung Jabatan Audit Negara.

Menurutnya, Jho Low mendakwa sebarang maklumat yang diperoleh pihak audit akan digunakan terhadap Najib.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Disiarkan pada: October 14, 2019 @ 9:35pm
d