mutakhir

TCM riadah bersama tahfiz

Oleh Mohd Amin Jalil

SELEPAS lebih 10 tahun terbabit dalam aktiviti konvoi motosikal, Team Cakna Malaysia (TCM) beralih arah dengan menganjurkan program amal dan riadah bersama pelajar tahfiz.

TCM yang mempunyai 1,500 ahli itu mengadakan pertandingan boling untuk pelajar Maahad Tahfiz As-Salihin, Sikamat di Seremban 2 kelmarin membabitkan penyertaan 130 pelajar.

Presiden TCM Sahrilman Mohammed berkata, program riadah itu adalah bertujuan untuk menyantuni pelajar terbabit.

"Kami ingin mendekati pelajar tahfiz ini yang kebanyakan mereka datang daripada keluarga asnaf.

"Kami mahu dapat mendekati mereka dan membantu dalam apa juga yang diperlukan termasuk kewangan.

“Usaha murni ini memberi peluang untuk ahli berbakti kepada masyarakat," katanya ketika ditemui selepas program berkenaan.

Sahrilman berkata, pihaknya akan terus memberikan sokongan kepada maahad itu dalam usaha melahirkan ramai golongan huffaz dalam kalangan anak muda negara ini.

Sementara itu, Pengetua Maahad Tahfiz As-Salihin Mohd Salleh Hamid berkata, kebanyakan pelajar adalah daripada keluarga asnaf dan pihaknya memerlukan kira-kira RM35,000 setiap bulan untuk memastikan operasi maahad berjalan lancar.

"Sehingga kini, kami sudah berjaya melahirkan 20 huffaz dan terdapat 15 lagi akan menjadi huffaz sehingga awal tahun depan.

"Sebahagian pelajar maahad ini sudah berjaya menghafaz antara lima hingga 10 juzuk al-Quran," katanya.

Menurutnya, pihaknya menetapkan sasaran untuk melahirkan lebih 70 huffaz dalam tempoh tiga tahun.

Disiarkan pada: October 14, 2019 @ 9:47pm
d