mutakhir

Terima kasih Cikgu Salwa

Oleh Mohd Aizat Shamsuddin

Kesusahan dan keperitan dilalui sepanjang kehidupan termasuk ketika melanjutkan pelajaran di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) tidak menjadi penghalang untuk lulus cemerlang dan berjaya menggenggam segulung ijazah.

Bagi graduan program Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Antrapologi dan Dakwah), Mohd Aswan Mohd Amin, 24, diuji dengan perpisahan ibu dan bapanya sejak usianya 13 tahun serta kemiskinan keluarga tidak membuatnya berputus asa sebaliknya menjadi kekuatan untuk mengubah nasib keluarga.

Katanya, walaupun perjalanan pelajarannya ketika menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengganggu emosinya namun melihat kecekalan ibunya, Darwani Usin, 55, menjaga mereka sembilan beradik menjadi pembakar semangat buat dirinya berjaya dalam pelajaran.

Hasilnya ketika menduduki Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), beliau mendapat keputusan gred purata 3.75 dan turut menamatkan pengajian di UniSZA dengan keputusan sama.

Kejayaan lebih manis buat anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah apabila dianugerahkan Anugerah Pelajaran Diraja yang disampaikan Canselor UniSZA yang juga Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah pada Majlis Idul Ilmi Konvokasyen ke-11 UniSZA di Dewan Al Muktafi Billah Shah di sini, semalam.

“Saya anak pertama melanjutkan pelajaran ke universiti kerana abang dan kakak tidak dapat menamatkan pengajian kerana kesusahan keluarga. Selepas tamat sekolah mereka mengambil keputusan untuk bekerja.

“Apabila masuk UniSZA, saya jadikan ini sebagai lonjatan untuk belajar bersungguh-sungguh dan seterusnya ingin membalas jasa mereka yang banyak berkorban serta memberi semangat sepanjang pengajian di universiti,” kata anak ketujuh daripada sembilan beradik itu.

Malah, kata Mohd Aswan, kejayaan di universiti itu selain didedikasi untuk keluarga, beliau turut menyatakan penghargaan kepada bekas gurunya, Siti Salwa Ahmad yang turut menanggung perbelanjaan pengajiannya ketika peringkat awal di UniSZA.

“Awalnya, mama tidak bagi saya melanjutkan pengajian di UniSZA kerana kos tinggi namun Ustazah Siti Salwa yang menanggung semua kos perbelanjaan awal termasuk tiket penerbangan.

“Ketika di tingkatan enam, beliau menaja pengajian saya, jadi saya hadiahkannya dengan keputusan cemerlang dalam SPTM dan kemudian menghadiahkan saya pula dengan kos perbelanjaan awal ke UniSZA.

“Saya bersyukur diberikan insan yang baik di sekeliling walaupun Allah SWT memberi ujian yang berat untuk saya. Ia juga berkat doa ibu dan bapa untuk melihat saya berjaya,” katanya yang kini berkhidmat sebagai pegawai dakwah di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS).

Sementara itu, graduan Nur Husna Md Lazim, 28, berasal dari Kelapa Batas, Pulau Pinang bersyukur kerana berjaya menggengam ijazah Sarjana Muda Dietetik walaupun diuji dengan masalah kegagalan buah pinggang sejak 2009 dan terpaksa menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu.

Malah beliau terus diuji apabila ketika semester akhir pengajian dan sedang menjalani latihan industri, kesihatannya semakin merosot sehingga tidak boleh bangun dan berjalan kerana disahkan mengalami kepatahan tulang belakang.

“Walaupun sedih, tapi saya bersyukur. Ini tahun ke-10 saya mengalami masalah buah pinggang dan sejak masuk UniSZA pada 2015, saya kuat seperti pelajar lain cuma ketika di tahun akhir pengajian kesihatan saya semakin merosot dan disahkan doktor tidak boleh berjalan,” katanya.

Nur Husna berkata, walaupun berdepan masalah kesihatan kritikal, namun terus bersemangat untuk meneruskan pengajian tingga tamat kerana terkenangkan pengorbanan bapanya, Md Lazim Shaari, 59, dan ibunya, Aisah Abdullah, 60.

“Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya ditawarkan melanjutkan pengajian ke Jepun,” katanya.

Disiarkan pada: October 15, 2019 @ 6:00am
d