mutakhir

Lokman Adam mengaku tak salah [METROTV]

Oleh Rafidah Mat Ruzki

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini, atas pertuduhan membuat kenyataan mengapi-apikan orang awam untuk melakukan sesuatu kesalahan terhadap orang awam lain, dua bulan lalu.

Lokman, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Erry Shahriman Nor Aripin.

Berdasarkan pertuduhan, Lokman didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi YouTube melalui laman profil Lokman Adam yang bertajuk ‘Dukacita Dimaklumkan Bahawa Pembunuh Arwah Syed Daniel Pula Bakal Terlepas Dari Tali Gantung’.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 12.01 tengah malam hingga 11.59 malam pada 12 Ogos lalu, dan hantaran itu dilihat pada jam 5 petang 13 Ogos lalu di Bangunan Menara 1, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman

penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria menawarkan jaminan sebanyak RM10, 000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tawaran itu dibantah peguam N Logendran yang mewakili Lokman dengan alasan anak guamnya sudah 13 bulan tiada pekerjaan selepas dipecat daripada jawatannya sebagai Pengarah Komunikasi Kementerian Kewangan selepas kerajaan bertukar.

Justeru, katanya, Lokman tidak mempunyai apa-apa pendapatan.

“Beliau sudah berkahwin dan ada 11 anak. Tiga anaknya masih menuntut di institusi pengajian tinggi, dua di sekolah menegah, tiga di sekolah rendah, seorang masih di tadika dan dua masih kecil termasuk seorang yang baru berusia enam bulan.

“Tiga daripada mereka juga adalah anak angkat iaitu dua dari Indonesia dan seorang bangsa Rohingya.

“Beliau juga tidak ada sebarang rekod kesalahan dari mana-mana mahkamah di Malaysia,” katanya.

Logendran berkata, Lokman juga sentiasa bekerjasama sepanjang siasatan polis.

Katanya, dua minggu lalu juga anak guamnya dimasukkan ke hospital kerana menghidap kencing manis kronik dan kini penglihatannya sedikit kabur.

Bagaimanapun, Mohd Sophian berkata, pertuduhan yang didakwa terhadap Lokman adalah satu pertuduhan yang serius dan membabitkan satu hantaran yang bersifat mengapi-apikan perasaan orang awam.

“Mengikut pertuduhan juga terdapat unsur-unsur yang boleh membakar perasaan perkauman antara kaum-kaum di Malaysia.

“Jaminan RM10,000 adalah setimpal dengan pertuduhan yang dibuat terhadap tertuduh,” katanya.

Erry Shahriman kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan 19 November ini sebagai tarikh sebutan kes.

Disiarkan pada: October 15, 2019 @ 12:24pm
d