mutakhir

Siput untuk upacara keagamaan lah...

Oleh Mohd Sabran Md Sani

“SIPUT sedut itu dibuang untuk upacara keagamaan,” kata Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Johor, Zamani Omar berhubung fenomena luar biasa penemuan siput sedut di Benteng Tanjung Labuh, Batu Pahat, semalam.

Zamani berkata, perkara itu disahkan sendiri penduduk kampung berkaitan fenomena luar biasa itu.

“Siput sedut yang dibuang itu adalah upacara keagamaan dan perkara itu disahkan sendiri penduduk kawasan terbabit,” katanya ketika dihubungi berhubung tular video penemuan siput berkenaan, semalam.

Menurutnya, beliau sendiri menonton video berdurasi pendek dikirimkan penduduk di kawasan itu.

“Video itu menunjukkan perbuatan beberapa penduduk berbangsa Tionghua memasukkan berguni-guni siput sedut ke dalam kawasan paya bakau berhampiran benteng berkenaan,” katanya.

Terdahulu, dua video masing-masing berdurasi 15 saat menunjukkan perbuatan lebih 10 individu mengeluarkan siput sedut daripada beberapa guni.

Seorang wanita kemudian memegang satu bendera kuning sambil menyembur air di kawasan terbabit.

Video itu turut menunjukkan sebuah lori digunakan untuk membawa berguni-guni siput sedut.

Akhbar ini melaporkan rezeki ‘durian runtuh’ apabila penduduk sekitar Batu Pahat berpusu-pusu membanjiri kawasan sekitar paya pakau berhampiran Benteng Tanjung Labuh susulan kehadiran siput sedut dalam jumlah luar biasa.

Fenomena luar biasa itu menyebabkan kawasan berkenaan bertukar menjadi tapak ‘pesta’ bagi penduduk setempat yang membawa guni dan timba untuk mengutip siput berkenaan.

Penduduk terkejut dengan fenomena luar biasa itu selepas mampu mendapatkan siput sedut dengan mudah dan dalam kuantiti hingga puluhan kilogram.

Disiarkan pada: October 15, 2019 @ 12:54pm
d