mutakhir

Dah kenapa kaitkan Dr Zakir Naik pula?

Oleh Hasbi Sidek

SEMUA pihak tidak perlu mengaitkan isu penahanan dua wakil rakyat DAP yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dengan penceramah Dr Zakir Naik.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, ini kerana polis mempunyai kuasa menahan mana-mana individu yang didapati terbabit dengan aktiviti keganasan tanpa mengira agama.

Bagaimanapun katanya, penahanan perlu disertakan bukti kukuh pembabitan dalam aktiviti itu.

“Saya tidak tahu kenapa benda itu (penahanan wakil rakyat DAP dan Dr Zakir) dikaitkan.

“Secara umumnya dan dasarnya sesiapa sahaja polis dapati dengan bukti yang kukuh mengenai pembabitan dalam aktiviti keganasan, kita serahkan saja kepada polis untuk tindakan,” katanya pada sidang media selepas Townhall Maqasid Syariah Peringkat Negeri Sembilan di Seremban, hari ini.

Semalam, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Prof Dr P Ramasamy menggesa diwujudkan Kertas Putih mengenai Dr Zakir sekiranya kerajaan mahu mewujudkan Kertas Putih mengenai LTTE di Malaysia.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan sebelum ini menggesa kerajaan membentangkan kertas putih mengenai penyebaran ideologi, rangkaian organisasi dan kegiatan individu disyaki terbabit dalam LTTE.

Takiyuddin dilaporkan berkata, isu itu menjadi kepentingan umum susulan 12 individu, termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang juga ahli DAP ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 kerana didakwa ada kaitan dengan kumpulan pemisah itu.

Disiarkan pada: October 15, 2019 @ 3:10pm
d