mutakhir

Serah kad ATM sebelum 'pergi'

Oleh Adnan Ibrahim

“SEBELUM pergi bekerja, secara tiba-tiba suami menyerahkan kad ATM (mesin juruwang automatik) serta nombor pin kepada saya,” kata Nor Salina Ramli, hari ini.

Nor Salina, 40, menceritakan kenangan terakhir bersama suaminya, Norizan Mahadi, 43, sebelum lelaki terbabit maut ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja, 10 September lalu.

Katanya, suaminya tidak pernah berbuat demikian sepanjang mereka mendirikan rumah tangga sejak 10 tahun lalu dan dikurniakan dua anak berusia 7 dan 9 tahun yang kini belajar di Sekolah Kebangsaan Bandar T6, Taman Sri Lambak, Kluang.

“Kad ATM itu diserahkan ketika sarapan dan suami turut berjanji akan membawa saya dan anak keluar makan di restoran di bandar Kluang pada malam kejadian.

“Saya tidak menyangka semua tingkah lakunya itu petanda dia akan meninggalkan kami tiga beranak dan detik manis ketika sarapan pagi itu tetap abadi dalam ingatan.

“Kini saya pasrah menghadapi semua dugaan ini selain perlu meneruskan kehidupan bersama anak apatah lagi bakti dan budinya terus mengiringi hidup kami,” katanya.

Nor Salina menerima bayaran Faedah Pengurusan Mayat (FPM) dan Faedah Orang Tanggungan (FOT) daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kluang di rumahnya di Taman Sri Impian, hari ini.

Sementara itu, Pengurus Perkeso Kluang, Ahmad Suzaimie Abdul Aziz berkata, Norizan meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika pulang dari tempat kerja pada 10 September lalu.

Katanya, hasil semakan mendapati Norizan ada membuat caruman melalui syarikat tempatnya bekerja, sekali gus membolehkan kes arwah diproses mengikut Skim Bencana Pekerjaan (SBP).

“Melalui skim ini, warisnya, Nor Salina layak menerima FPM sebanyak RM2,000 manakala FOT akan dibayar bermula Oktober ini sepanjang hayatnya manakala dua anak mereka layak menerima FOT sehingga mereka berusia 21 tahun atau ijazah pertama,” katanya.

Disiarkan pada: October 15, 2019 @ 3:38pm
d