mutakhir

BQB1 hingga BQB 9999 dijual Jumaat depan

Oleh Ruwaida Md Zain

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) mensasarkan kutipan RM1 juta bagi jualan nombor pendaftaran BQB1 hingga BQB 9999 mulai 25 hingga 29 Oktober ini.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, pihaknya menjangkakan peningkatan bagi bidaan siri nombor pendaftaran BQB berbanding siri BQA yang dibuka sebelum ini.

“Siri bidaan yang akan dilaksanakan melalui sistem JPJeBid akan dibuka lima hari bermula 25 Oktober ini pada 12 tengah malam sehingga 11.59 malam, 29 Oktober.

“Keputusan bidaan akan diumumkan 30 Oktober ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JPJ Selangor hari ini.

Menurutnya, harga bidaan dalam JPJeBid adalah mengikut kadar minimum yang ditetapkan iaitu bagi kategori nombor bernilai popular RM20,000; nombor menarik RM3,000; nombor popular, RM800 dan nombor biasa RM300.

“Kadar kenaikan minimum bidaan adalah lima peratus bagi setiap empat kategori terbabit,” katanya.

Shaharuddin berkata, kaedah pembayaran bidaan dalam JPJeBid adalah menggunakan Kad Kredit dan Kad Debit saja.

“Pembida boleh membida seberapa banyak nombor diminati dengan bayaran Fi Perkhidmatan RM10 (wajib) bagi setiap nombor dibida (one-time).

“Tiada sekatan untuk melakukan bidaan, bagaimanapun setiap individu hanya layak memenangi maksimum tiga nombor kenderaan manakala bagi perniagaan atau syarikat tidak melebihi lima nombor kenderaan,” katanya.

Beliau berkata, bidaan itu terbuka kepada warga Malaysia dan penduduk tetap Malaysia yang berusia 18 tahun.

“Bagaimanapun, orang awam atau syarikat yang tidak pernah mempunyai rekod di sistem mySIKAP seperti rekod kenderaan, lesen atau saman dikehendaki membuat pendaftaran terlebih dulu di mana-mana Pejabat JPJ Negeri dan Cawangan JPJ kecuali UTC.

“Nombor pendaftaran yang berjaya dibida mestilah didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat tawaran dikeluarkan di Pejabat JPJ Negeri atau cawangan.

“Baki nombor pendaftaran yang tidak dibida akan dibuka kepada umum untuk dibeli orang awam mengikut harga minimum bermula RM20,000 hingga RM500 bergantung kategori,” katanya.

Sehingga kini katanya, nombor pendaftaran kenderaan yang mendapat kutipan tertinggi adalah dari Perak iaitu ALL iaitu RM3.38 juta.

Disiarkan pada: October 15, 2019 @ 5:15pm
d