mutakhir

Pelajar maut kereta terbabas

Oleh Fairuz Zaidan

PELAJAR tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Rambai, Jasin maut selepas kereta dipandu rakannya terbabit kemalangan di Kilometer (KM) 5 Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) semalam.

Dalam kejadian 9.30 malam itu, mangsa Teck Yong Peng, 13, maut di tempat kejadian selepas Honda City dipandu Tee Wen Qian, 26, terbabas sebelum melanggar tiang lampu di tepi jalan.

Seorang lagi penumpang yang juga abang mangsa, Yong Le, 15, dilaporkan mengalami patah tangan kanan.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, siasatan awal polis mendapati kereta dipandu Wen Qian yang dalam perjalanan dari Muar ke Melaka dipercayai hilang kawalan dan terbabas mengenai tiang lampu jalan sebelum kenderaan itu masuk ke laluan bertentangan.

“Dalam kemalangan ini, pemandu mengalami kecederaan dada, seorang penumpang mengalami patah tangan kanan manakala seorang lagi penumpang yang juga pelajar tingkatan satu maut di tempat kejadian akibat cedera di kepala.

“Penumpang yang maut dibawa ke Hospital Jasin untuk bedah siasat manakala pemandu serta seorang lagi penumpang dibawa ke Hospital Muar untuk rawatan susulan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, keadaan jalan ketika itu basah tetapi cuaca baik dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Disiarkan pada: October 15, 2019 @ 10:26pm
d