mutakhir

600,000 pendatang tanpa izin diusir dari Sabah

Oleh BERNAMA

586,700 pendatang tanpa izin diusir dari Sabah sejak 1990 sehingga 30 September lalu, kata Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Kementerian itu menyebut, kerajaan melalui Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS) fokus dalam menangani isu keberadaan pendatang tanpa izin dengan menggiatkan penguatkuasaan serta pengusiran.

Menurut KDN, kerjasama dengan kedutaan Filipina juga diadakan bagi mempercepat pengeluaran dokumen perjalanan kepada tahanan yang hendak diusir ke negara asal.

“Kerjasama ini menghasilkan impak positif dan dokumen itu dapat dikeluarkan dalam tempoh dua hingga tiga minggu berbanding tempoh dua hingga tiga bulan sebelum ini sejak pelaksanaannya pada Januari 2016,” menurut KDN dalam jawapan bertulis yang dipaparkan di laman web Parlimen hari ini.

Ia bagi menjawab soalan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tuaran) yang ingin tahu bilakah kerajaan akan melaksanakan semua cadangan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Mengenai Pendatang Asing di Sabah.

Kerajaan juga telah memperkenalkan penggunaan terma ‘Rekod Kelahiran’ bagi dokumen pendaftaran kelahiran bukan warganegara di Sabah yang berkuat kuasa pada 15 September 2015, bertujuan membezakan dengan jelas dokumen pendaftaran kelahiran bagi warganegara dan bukan warganegara di Sabah.

Oleh itu, terma ‘Sijil Kelahiran’ pada dokumen pendaftaran negeri Sabah hanya akan dikhususkan kepada warganegara saja.

Disiarkan pada: October 15, 2019 @ 10:40pm
d