mutakhir

Debat isu sensitif, UiTM ambil tindakan

Oleh Nur Lela Zulkipli

UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap dua penuntutnya berhubung isu tajuk debat Bahasa Inggeris Piala Tun Razak, yang tular di media sosial, kelmarin.

Pertandingan yang diadakan di Sekolah Datuk Abdul Razak (SDAR), Seremban, Negeri Sembilan itu mendapat kecaman pelbagai pihak selepas tajuk debat didakwa menyentuh sensitiviti umat Islam.

Naib Canselor UiTM, Prof Ir Dr Mohd Azraai Kassim berkata, penuntut berkenaan iaitu Mohammad Aidil Ali adalah bekas penuntut UiTM yang mendapat status Gugur Taraf.

Sementara Iyad Zakiy Amal adalah Pelajar Luar Kampus (PLK) di UiTM tetapi kini sedang dalam status Cuti Khas.

“Kita kini sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung perkara berkenaan yang disifatkan boleh mengganggu sensitiviti agama dan budaya masyarakat di Malaysia.

“Kita akan siasat secara adil dan menyeluruh. Sekiranya didapati bahawa penuntut berkenaan melakukan sebarang kesalahan yang bertentangan dengan mana-mana undang-undang UiTM, maka akan mengambil tindakan yang sewajarnya.

“Kita juga tidak akan berkompromi terhadap mana-mana warga universiti ini yang cuba melakukan sesuatu yang mampu mengganggu keharmonian negara,” katanya dalam kenyataan di Shah Alam, hari ini.

Katanya lagi, penganjur pertandingan berkenaan juga menghubungi kedua-dua individu berkenaan untuk menjadi Adjudicator (Ketua Juri) secara terus.

“Oleh itu, penyertaan kedua-dua individu berkenaan dalam pertandingan debat itu berlaku tanpa pengetahuan pihak UiTM,” katanya.

Pertandingan Debat Bahasa Inggeris Piala Tun Razak Kali Ke-8 di SDAR, Seremban, pada 11 dan 13 Oktober lalu meminta pelajar berhujah mengenai kecacatan dan kekurangan al-Quran serta memaksa mereka menulis semula al-Quran dengan membuang kandungan tertentu yang tidak liberal.

Selain itu, pendebat turut dipaksa berhujah bahawa homoseksual bukan satu dosa dalam Islam.

Disiarkan pada: October 16, 2019 @ 10:40am
d