mutakhir

Jangan apikan sensitiviti kaum

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

SEORANG ejen pelancongan ditahan polis berikutan memuat naik foto khinzir dengan logo halal di Pulau Pinang, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, terdahulu lelaki terbabit memuat naik gambar haiwan itu berserta logo halal dan menulis kenyataan jelik dalam bahasa Inggeris.

Katanya, kenyataan itu dimuat naik menerusi akaun Facebook atas nama KT Vasagam, Isnin lalu.

“Susulan itu, kita menerima lapan laporan polis di seluruh negara berhubung kenyataan lelaki terbabit.

“Bagaimanapun, lelaki itu ditahan selepas dia tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, Pulau Pinang, semalam.

“Lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan kerana cuba mendatangkan khianat awam dengan niat hendak mengapi-apikan mana-mana golongan atau kaum dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998,” katanya ketika sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid.

Dalam pada itu, Huzir menegaskan, orang ramai jangan sewenangnya memuat naik atau memberi komen yang boleh menggugat ketenteraman awam dan sensitif perkauman.

“Segala tindakan sedemikian boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya

Disiarkan pada: October 16, 2019 @ 12:52pm
d