mutakhir

Rompak di PD, ditahan di Selangor, Perak

Oleh Mohd Khidir Zakaria

TIGA daripada enam suspek yang dipercayai terbabit dalam kejadian rompakan premis pengurup wang di pasar raya di Port Dickson, kelmarin, cuba bersembunyi di Perak dan Selangor.

Difahamkan, berdasarkan siasatan awal terhadap kenderaan yang digunakan suspek ketika kejadian, polis mendapati kumpulan sama turut melakukan samun di kawasan Tampoi, Johor, Isnin lalu.

Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka ditahan awal pagi semalam, manakala tiga lagi suspek masih diburu.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Che Zakaria Othman berkata, dua lelaki berusia 22 dan 25 tahun itu ditahan di Kilometer 4.6 Lebuhraya Utara-Selatan, dekat susur keluar Setia Alam, Selangor, manakala seorang lagi ditahan di rumah di Taman Bagan Pasir, Selekoh, Perak.

“Sepasukan polis dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Port Dickson mengekori kereta Perodua Axia berwarna kelabu dan berjaya menahan dua suspek 1 pagi semalam.

“Suspek pertama berasal dari Petaling Jaya dan mempunyai tiga rekod jenayah, manakala suspek kedua juga berasal dari Petaling Jaya serta mempunyai satu rekod jenayah membabitkan samun,” katanya pada sidang media di IPD Port Dickson, hari ini.

Beliau berkata, suspek ketiga berusia 27 tahun ditahan di rumah di Selekoh, Perak, 4.30 pagi dan semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah membabitkan dadah serta jenayah samun.

Che Zakaria berkata, turut dirampas sebuah kereta Toyota Vios yang digunakan ketika kejadian dan sebuah lagi kereta Perodua Axia yang dipercayai disewa, beberapa peralatan yang digunakan ketika kejadian serta wang tunai berjumlah RM12,500.

“Polis mendapati tiga lagi suspek masih bebas dan operasi mengesan semua suspek yang masih bebas sedang giat dijalankan.

“Mereka dikenali sebagai R Kunasegaran, 31; J Danarush, 29 dan R Jeevanraj, 22. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan suspek, bolehlah menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Akmal Salleh di talian 017-4220322 atau 06-6474740,” katanya.

Disiarkan pada: October 16, 2019 @ 2:37pm
d